29 Syaaban 1433H.
الْحَمْدُ لِلَّهِ القَائِلِ :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ ِالاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ رَسَوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ .
اَمَّا بَعْدُ, عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Wahai hamba-hamba Allah !
Bertaqwalah
sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah
kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.Saya menyeru diri saya sendiri
dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan
ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya
dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita
berada di ambang Ramadhan yang sekian lama kita nantikan. Ramadhan
merupakan anugerah Allah kepada kita untuk melahirkan manusia yang
bertaqwa sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat yang dibacakan tadi.
Ibadat puasa merupakan salah satu kewajipan yang diperintahkan oleh
Allah menggunakan kalimah difardhukan “كُتِبَ عَلَيْكُمْ “ seperti
difardhukan Hukum Qisas, Hukum Jihad Fi Sabilillah dan sebagainya.
Namun apakan daya manusia seringkali memilih-milih untuk mengerjakan
perintah Allah berdasarkan selera dan keselesaan mereka dan menganggap
remeh apa yang tidak disukai mereka.
Hadirin yang dikasihi Allah,
Puasa
tidak hanya sekadar meninggalkan makan dan minum semata-mata tetapi
memerlukan jihad melawan hawa nafsu yang selama ini menjadi raja kepada
kebanyakan manusia dan tidak ada cara yang lebih baik bagi mengawalnya
kecuali dengan cara berpuasa. Namun jika silap cara kita menunaikan
puasa maka sia-sia sahajalah ibadat tersebut tanpa dapat melahirkan
insan-insan bertaqwa di penghujung Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW :
كَمْ
مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ اِلاَّ الْجُوْعُ وَالعَطْشُ
وَكَمْ مِنْ قاَئِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِياَمِهِ إِلاَّ السَّهَرُ
Berapa
ramai orang yang berpuasa sedangkan tiada sebarang faedah yang
diperolehinya daripada puasa tersebut kecuali hanya lapar dan dahaga.
Dan berapa ramai orang yang bangun malam sedangkan tiada sebarang faedah
yang diperolehinya daripada bangun malamnya kecuali hanya penat dan
lelah. – Hadis Riwayat Ahmad.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Terdapat
beberapa tanda bagi mengenalpasti samada puasa kita diterima oleh Allah
atau tidak. Ianya boleh dinilai melalui keselarasan amalan kita dengan
perintah Allah sepanjang Ramadan dan selepas kita menjalani sebulan
Ramadhan nanti Jika sekiranya setiap hari kita berpuasa dan setiap hari
yang berlalu menambahkan lagi kekuatan kita untuk melaksanakan perintah
Allah dan meninggalkan laranganNya maka besarlah harapannya puasa kita
di terima Allah.
Jika
sekiranya hari-hari yang mendatang hanya menambahkan dosa atau tidak
ada sebarang peningkatan terhadap kualiti dan kuantiti ibadat kita maka
dibimbangi kita akan hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.
Hadirin mukminin yang dirahmati,
Di
antara ciri-ciri orang yang beriman dan bertaqwa adalah kegembiraan
mereka dalam menyambut kedatangan Ramadhan. Kegembiraan mereka bukan
hanya kerana peluang perniagaan yang terbuka luas, bukan hanya kerana
boleh menguruskan badan dan bukan juga kerana mahu mengurangkan ataupun
berhenti merokok, tetapi kerana kesedaran tentang kelebihan Fadhilat
Ramadhan itu sendiri.
Orang
yang beriman akan berusaha melipatgandakan amal ibadat melebihi
daripada usaha mempelbagaikan juadah ketika berbuka. Disamping itu orang
yang bertaqwa akan memastikan mereka tidak berlebih-lebih dan melakukan
sebarang pembaziran sepanjang Bulan Ramadhan ini.
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Sebahagian
Umat Islam melakukan beberapa kesilapan dalam menghayati Ramadhan.
Keghairahan kita melakukan ibadat terutamanya solat Terawih biasanya
hanya bertahan selama separuh daripada Bulan Ramadhan sahaja.
Sepuluh
hari yang terakhir daripada Ramadhan menunjukkan kemerosotan bilangan
jemaah yang amat ketara walaupun kelebihannya terutamanya dalam mencari
Lailatul Qadar jauh lebih besar daripada hari-hari sebelumnya. Ramai di
antara kita tidak mahu terlepas untuk menunaikan Solat Terawih yang
hukumnya hanya disunatkan tetapi tidak merasa sebarang kerugian ketika
meninggalkan Solat Fardhu berjemaah walaupun hukumnya adalah Fardhu
Kifayah.
Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,
Keghairahan
bertadarrus menyebabkan kita sering berlumba-lumba untuk mengkhatamkan
Al-Quran melalui program Tadarus sebelum berlalunya Ramadhan. Ini
menyebabkan sebahagian dari kita hanya bergotong royong dalam
menghabiskan bacaan tanpa ada sebarang peningkatan dalam mutu bacaan.
Kita
hanya membaca dan mendengar bacaan tanpa ada proses pembelajaran kerana
tertekan mengejar waktu untuk mengkhatamkan Al-Quran sehingga akhirnya
banyak berlaku kesilapan dan pahala yang diharapkan bertukar menjadi
laknat tuhan. Sewajarnyalah apabila mutu bacaan sudah dipertingkatkan
maka kita beralih kepada usaha pemahaman.
Setelah
pemahaman terhadap Al Quran dapat dicapai maka berusahalah seboleh
mungkin untuk menghayati segala ajaran Al-Quran. Janganlah kita hanya
menjadi golongan yang hanya mementingkan bacaan tetapi kembali kepada
Allah sebelum dapat mengamalkan apa-apa daripada ajaran Al-Quran.
Hadirin mukmin sekelian,
Di
antara kesilapan pihak pengurusan masjid dan surau di seluruh Negara
ini adalah kerana kebanyakkannya menghentikan kelas-kelas pengajian
sepanjang Ramadhan yang mulia ini. Sebahagian besar daripadanya hanya
memulakan semula semua pengajian hanya setelah berlalunya sebulan
Syawal.
Ini
menyebabkan kebanyakkan Umat Islam tidak menuntut ilmu selama dua bulan
walaupun ianya amat penting dan merupakan kewajipan setiap orang Islam.
Alangkah baiknya jika kuliah Maghrib yang diadakan selama ini
digantikan dengan tazkirah selepas Terawikh, kuliah dhuha, kuliah subuh
dan sebagainya.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Setiap
kali tibanya saat menjelang Ramadhan, kedengaran suara-suara sumbang
yang mempertikaikan mengenai kaedah Rukyah (melihat anak bulan) yang
dilaksanakan di seluruh Negara. Ada yang mengatakan bahawa apa perlunya
membazir masa dan kewangan sekadar berpesta di pantai-pantai dan bukit
bukau sedangkan bukan sekadar bulan, malah planet, bintang dan komet pun
boleh diketahui kedudukannya dengan kiraan.
Ada
juga yang lebih sinis mengatakan jika nak menyambut Ramadhan pastinya
anak bulan tidak akan kelihatan berbeza dengan menyambut Syawal yang
pastinya jelas kelihatan.
Perlaksanaan
Rukyah sebenarnya adalah menjadi tanggungjawab Fardhu Kifayah yang
wajib dilaksanakan oleh pemerintah pada setiap 29 Syaban tahun Hijriah.
Tanggungjawab ini telah digalas dengan sempurna oleh Jabatan Mufti
Negeri Perak melalui Bahagian Falak.
Di
Negara ini kita menggunapakai Kaedah Rukyah dan Hisab untuk menentukan
awal bulan. Melalui kaedah ini, ditetapkan bahawa hilal akan kelihatan
sekiranya ketika matahari terbenam, hilal berada di atas ufuk melebihi 2
darjah dan jaraknya dari matahari melebihi dari 3 darjah atau umur
hilal melebihi 8 jam
Maka
disamping pengiraan falak yang dikira terlebih dahulu, aktiviti rukyah
hilal tetap dilaksanakan sebagai pengesahan. Jika pada 29 Syaaban, hilal
dapat dilihat dengan mata dan pengiraan yang telah dibuat menunjukkan
bahawa ianya sepatutnya kelihatan, maka keesokan harinya akan diiktiraf
sebagai 1 Ramadhan.
Namun
sekiranya anak bulan tidak kelihatan samada melalui mata kasar atau
pengiraan, maka keesokkan harinya dikira sebagai 30 Syaban.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Hilal
ditakrifkan sebagai bentuk bulan yang pertama kali kelihatan selepas
fasa ijtimak. Bulan sentiasa berubah-ubah bentuknya berdasarkan
hari-hari dalam taqwim Hijriah. Biasanya pada hari ke-15 dalam bulan
Hijrah, bulan akan kelihatan penuh. Pada hari ke-28 pula bulan akan
hilang kerana ketika itu bulan sedang mengalami fasa bulan gelap. Jadi
selepas fasa bulan gelap, barulah hilal akan muncul iaitu pada 1
haribulan setiap bulan.
Hadhirin yang dirahmati Allah,
Sesekali
kita mendengar suara-suara sinis masyarakat mempertikaikan; mengapa
Hilal lewat dilihat di Negara ini berbanding Negara-negara berada di
sebelah barat seperti negara Arab Saudi, Mesir dan sebagainya.
Sebenarnya
perkara ini timbul kerana ketika fasa bulan gelap, bulan berada terlalu
dekat dengan matahari. Semakin jauh ke sebelah barat, semakin jauh
kedudukan bulan daripada matahari. Ketika ini cahaya bulan yang malap
akan lebih mudah kelihatan kerana cahaya matahari yang terlalu kuat
sudah semakin jauh dari bulan. Oleh kerana itulah Hilal akan lebih mudah
kelihatan di negara-negara sebelah barat berbanding negara-negara
sebelah timur.
بَارَكَ
اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ
وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ,
وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ
الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ
ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ
وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ
نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
خطبة كدوا
اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقَائِلِ :
شَهْرُ
رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ
وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ
ٱلشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍۢ
فَعِدَّةٌۭ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلْيُسْرَ
وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا۟ ٱلْعِدَّةَ
وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
﴿١٨٥﴾
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Marilah
kita berusaha melakukan perubahan sempena Ramadhan pada tahun ini. Jika
selama ini kita tidak pernah melakukan Qiamullail maka inilah peluang
bagi kita untuk melakukannya sebelum kita bersahur atau selepasnya. Jika
kita jarang meninggalkan Sunat Witir sepanjang Ramadhan maka
teruskanlah melakukannya walaupun sesudah berlalunya Ramadhan. Jika kita
sanggup berjemaah Terawih sepanjang Ramadhan maka teruskanlah berjemaah
dalam Solat Fardhu sesudah Ramadhan. Firman Allah dalam Surah Ar-Ra’du
ayat 22 :
وَالَّذِيْنَ
صَبَرُوْا ابْتِغَآء َوَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوْا الصَّلوة
وَأَنْفَقُوْا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلاَنِيَةً وَيَدْرَءُوْنَ
بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُوْلَئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ
“Dan
mereka yang sabar kerana mengharapkan keredhaan tuhan mereka
semata-mata dan mereka mendirikan sembahyang serta membelanjakan rezeki
yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka samada secara sembunyi ataupun
secara terang-terangan dan mereka menolak kejahatan dengan cara
melakukan kebaikan. Mereka itulah disediakan balasan yang baik di Hari
Akhirat”.
Hadirin yang dirahmati Allah,
Ramadhan
seharusnya dimuliakan dan dihormati oleh setiap warga Negara yang tidak
kira apa agama sekalipun. Oleh kerana Islam adalah agama persekutuan,
maka semua penganut agama lain wajib turut sama menghormati Ramadhan.
Segala
aktiviti maksiat yang sememangnya diharamkan oleh semua agama mestilah
dihentikan serta merta. Tidak sepatutnya hanya Umat Islam sahaja yang
sibuk menghormati kebebasan penganut agama lain, sedangkan hakikatnya,
kebebasan tersebut merupakan pelanggaran terhadap tuntutan agama mereka
sendiri.
اَللَّهُمَّ
اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ
والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ
قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ
وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.اَللَّهُمَّ أَعِزَّ
اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ
وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ
اَللَّهُمَّ
دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ
الدِّيْنِ . اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ
سَبِيْلِكَ وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ.
اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ
أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ اَللَّهُمَّ
يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ
الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ.
Ya
Allah kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayahmu terhadap Raja kami,
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan
Azlan Muhibbuddin Shah, Ibni Al-Marhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah,
Ghafarullah Lahu.
رَبَّنَا
آتنِاَ فِيْ الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِيْ اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا
عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ
وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
اِنَّ
الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى
وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ
لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا
اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ
وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ.
وَاشْكُرْوْهٌ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ.