Pada
tahun 1099 M tentera Salib telah berjaya menakluk Baitul Maqdis dan
mereka menguasainya selama 80 tahun. Kejayaan itu masih tidak memuaskan
hati mereka lalu merancang satu perbuatan yang paling keji iaitu untuk
mencuri jasad Nabi Muhamad saw.
Kisah
ini berlaku pada tahun 557H (1164M), diceritakan oleh Ali Hafidz
seorang Sejarawan Arab dalam bukunya Fusul Min Tarikhi Al Madinah al
Munawwarah.
Pada
masa itu kerajaan Bani Abbasiyah diperintah oleh Khalifah al Mustajid
Billah (555-566/1160-1170). Kerajaan Islam ketika itu berada dalam
keadaan lemah dan berpecah-belah. Maka tentera Salib mengambil
kesempatan mahu mencuri serta memindahkan jasad Nabi Muhamad saw.
Untuk
menjayakan rancangan tersebut mereka menghantar dua orang lelaki bangsa
Moroko yang beragama Kristian ke Madinah dengan berpura-pura mahu
menziarahi makam rasulullah saw. Dan mereka menginap disebuah rumah
berhampiran dengan masjid Nabawi.
Kedua
lelaki itu berlagak seperti orang alim, mengerjakan sembahyang
berjemaah di masjid nabawi setiap waktu dan menziarahi perkuburan baqik
setiap pagi. Selain itu kedua lelaki itu juga bersikap dermawan sering
memberikan hartanya kepada fakir miskin.
Pada
waktu malam mereka menggali sebuah terowong menuju ke kamar Nabi
Muhamad saw. Mereka memasukkan tanah galian itu ke dalam beg kulit dan
pada keesokan harinya kedua lelaki itu menziarahi perkuburan Baqik
padahal tujuan sebenarnya mereka mahu membuang tanah di sana. Setelah
beberapa bulan berusaha akhirnya terowong yang digali sudah hampir
sampai ke kubur Nabi Muhamad saw.
Pada
suatu malam, Sultan Nuruddin Mahmud bin Zanki yang berada di Syam
(Syria) bermimpi bertemu Nabi Muhamad SAW dan baginda menunjuk kepada
dua lelaki berambut perang, lalu berkata: "Hai Mahmud, selamatkan aku
dari kedua orang ini!".
Sultan
Mahmud terjaga dari tidur dan hatinya gelisah memikirkan mimpinya itu.
Beliau lalu menunaikan solat sunat dan tidur semula. Dan beliau
mengalami mimpi yang sama sebanyak 3 kali berturut-turut. Akhirnya
Sultan Nuruddin Mahmud Zanki memanggil menterinya, Jamaluddin
Al-Muwashshali, seorang yang alim serta luas ilmu pengetahuannya.
Setelah
mendengarnya maka Jamaluddin pun berkata kepada Sultan, "Ini petanda
telah berlaku suatu kejadian di Madinah Munawarah. Pergilah sekarang ke
Madinah dan jangan bicarakan apa yang Tuanku lihat dalam mimpi Tuanku
pada sesiapapun."
Keesokan
harinya Sultan Nuruddin Mahmud Zanki berangkat ke Madinah bersama para
pengiringnya. Apabila sampai di Madinah Sultan Nuruddin Mahmud Zanki
membahagikan harta kepada semua penduduk Madinah. Tujuannya supaya dapat
bertemu dua lelaki yang dimimpikannya itu.
Sultan
Nuruddin Mahmud Zanki bertanya kepada gabenor Madinah apakah semua
orang sudah datang mengambil hadiah pemberian baginda. Menurut Gabenor
hanya dua orang lelaki yang tidak mahu datang kerana mereka tidak boleh
menerima hadiah malah mereka yang sering memberikan hadiah.
Apabila
kedua lelaki itu dibawa mengadap, Sultan Nurudin Mahmud Zanki
terperanjat kerana keduanya yang dilihatnya dalam mimpi. Apabila disoal
kedua lelaki itu tetap mengatakan berasal dari Moroko dan mahu
mengerjakan ibadat. Orang ramai juga memberi pengakuan kedua lelaki itu
orang yang baik.
Sultan
Nuruddin Mahmud Zanki tidak berputus asa. Baginda pergi ke tempat
penginapan kedua lelaki itu.Dalam rumah itu hanya ada beberapa naskhah
al Quran dan kitab-kitab agama. Dalam sebuah bilik mereka temui harta
yang banyak. Menurut kedua lelaki itu untuk disedekahkan kepada fakir
miskin.
Sultan
Nuruddin Mahmud Zanki hampir putus asa untuk mengaitkan kesalahan dua
lelaki itu. Tiba-tiba beliau melihat ada sebidang tikar terbentang di
atas lantai. Sultan mengangkat tikar tersebut dan terdapat sekeping
papan lebar di bawahnya. Apabila papan itu diangkat maka terlihat sebuah
terowong yang digali menuju ke Kamar Nabi SAW.
Setelah
dipaksa akhirnya kedua lelaki itu memgaku beragama Kristian dan mereka
diperintahkan untuk memindahkan jasad Nabi Muhamad saw ke Negara mereka.
Kedua lelaki itu merayu dibebaskan namun Sultan Nuruddin Mahmud Zanki
memerintahkan kedua lelaki itu dibunuh.
Bagi
mengelakkan perkara itu berulang maka baginda memerintahkan supaya
digali parit mengelilingi makam Nabi SAW kemudian dituangkan timah cair
ke dalam parit itu sehingga penuh. Tujuannya supaya jasad Nabi Muhamad
saw tidak lagi dapat diceroboh.Sesungguhnya Allah swt memelihara Nabi
Muhamad saw semasa hidup dan setelah wafatnya…
Ekoran
dari peristiwa ini memberi semangat kepada Salahuddin al Ayubi untuk
menyerang tentera Salib dan akhirnya pada tahun 1187 M beliau berjaya
menakluk Baitul Maqdis..