Pelajar UiTM makan koko crunch akhirnya terima anugerah
Seorang penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah mendedahkan dia sanggup mengikat perut semata-mata hendak menyimpan wang supaya mempunyai duit untuk membeli buku tambahan.
Nurul Shaera Eliana bt. Ahmad Kamal Ariffin,
24, dari Kuantan, Pahang berkata dia sanggup menahan lapar dan hanya memakan
koko crunch dua kali sehari sebagai ganti nasi.
"Syukur....segala usaha saya berhasil
apabila dipilih antara 4 penerima ANC pada konvokesyen ke-84 UiTM Kedah,"
katanya ketika ditemui selepas majlis itu di Dewan Semarak UiTM Merbok di Sungai
Petani, hari ini.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Sumber Manusia itu memperoleh Purata Nilai
Gred Kumulatif (PNGK) 3.79 berkata dia ditawarkan biasiswa oleh Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) setelah memperoleh PNGK 4.00 pada semester pertama.
Katanya beliau sentiasa berfikiran positif dan
berusaha untuk mendapat anugerah dekan pada setiap semester sejak memulakan
pengajian di situ.
"Saya sanggup menipu mak dan abah tentang
keadaan saya (tidak cukup wang) dan hanya berkongsi cerita yang menyenangkan
hati mereka sahaja kerana saya tidak mahu menyusahkan kedua ibu bapa saya.
"Mereka banyak berkorban untuk saya dan
adik beradik yang lain," kata Nurul Shaera Eliana, anak kedua dari lapan
orang adik beradik kepada Bernama.
Beliau yang bertugas sebagai pegawai Sumber Manusia
di De Rhu Beach Resort Kuantan berkata dia bercadang menyambung pengajian ke
peringkat Sarjana dalam bidang pembangunan sumber manusia.
Selain di UiTM Kedah, istiadat konvokesyen itu
turut berlangsung di kampus induk UiTM Shah Alam, masing-masing dua di Melaka,
Kelantan, Perlis serta Sabah dan Sarawak membabitkan penganugerahan ijazah dan
diploma kepada 15,594 graduan.
-Bernama