Friday, August 20, 2010

Imsak dan puasa. Adakah imsak sebahagian syariat Islam?
Tazkirah
"Imsak dan puasa. Adakah imsak sebahagian syariat Islam? Assalamualaikum wbh sdr seagamaku dan laknat Allah SWT kepada iblis dan pengikutnya.Selamat berpuasa kepada umat Islam semoga ibadah puasa kita semua diterima Allah SWT.

Puasa dan waktu imsak adalah saling bergandingan di Malaysia. Apabila masuk saja bulan Ramadhan, umat Islam akan sibuk mencari surat khabar atau radio atau TV untuk mengetahui waktu imsak bagi kawasan mereka.

Menurut BAHEIS (http://baheis.islam.gov.my/web/musykil_new.nsf/5bf3fb7251836f9a482567f20004d104/346a4ffac16b04fd0025735c00122b84?OpenDocument ), Waktu imsak ialah waktu berjaga-jaga untuk menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa sebelum terbitnya fajar sodik (waktu subuh).


Umat Islam secara di Malaysia umumnya akan menjaga waktu imsak ini di mana mereka akan berhenti makan dan minum sebelum waktu imsak. Apabila kita perhatikan waktu subuh dan waktu imsak ini, kita akan dapati bahawa waktu imsak ialah 10 minit sebelum masuknya waktu subuh.

Persoalan yang ingin saya bincangkan kali ini ialah:

1. Adakah waktu imsak ini sebahagian dari syariat Islam?

2. Adakah Nabi Muhamad melalui hadisnya ada mengajarkan waktu imsak bagi mereka yang berpuasa Ramadhan?

Apabila kita meneliti mana-mana kitab hadis dari Ahmad, Turmizi, Nasaie, Muslim atau Bukhari mahu pun Al Quran, Nabi Muhamad SAW tidak pernah mengajarkan waktu imsak ini. Marilah kita melihat dalil-dalil untuk menolak perkara ini.

1. Al Baqarah ayat 187: …. Makan dan minumlah hingga jelas bagi mu antara benang putih dan benang hitam iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa sampai malam.

Dalam mentafsirkan maksud benang putih dan benang hitam ini, marilah kita teliti hadis Muslim No 1053 maksudnya: Dari ‘Adi bin Hatim ra katanya; “Setelah turun ayat ….. hingga jelas bagi mu antara benang putih dan benang hitam iaitu fajar…..” maka berkata ‘Adi bin Hatim kepada rasulullah SAW “Ya rasulullah ! Aku meletakkan benang putih dan benang hitam di bawah bantalku untuk membezakan malam dan siang.” Sabda rasulullah SAW “Bantal mu terlalu lebar. Yang dimaksudkan (dengan benang hitam) ialah gelap malam, dan (benang putih) ialah cahaya siang.

2. Dari kitab sahih Bukhari dan Muslim di riwayatkan oleh al Qasim dari Aisyah bahawa rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya; “Azan Bilal tidak menghalangi makan sahur kalian kerana ia mengumandangkan adzan pada malam hari. Maka makan minumlah sehingga mendengar adzan Ibnu Ummi Maktum kerana ia tidak mengumandangkan adzan melainkan fajar telah terbit.

Berdasarkan hadis ini, adalah menjadi sunnah untuk mengumandangkan azan subuh 2 kali di mana adzan pertama(oleh Bilal) untuk mengejutkan orang bangun dari tidur dan adzan kedua (oleh Ibnu Ummi Maktum) adalah adzan untuk solat. Namun sedihnya dua adzan ini tidak dilakukan di Malaysia. Di Arab Saudi masih dilakukan.

Dari kedua-dua dalil ini jelas bahawa umat Islam adalah dibenarkan untuk makan minum serta berjimak (rujuk pangkal Baqarah 187) sehingga masuk waktu subuh iaitu apabila telah keluar fajar siddik. Tidak ada sebarang dalil untuk umat Islam berjaga-jaga kira-kira 10 minit sebelum waktu subuh.

Kini sudah jelas bahawa amalan waktu imsak adalah berlawanan dengan dua dalil di atas. Al Quran dan hadis memerintah kita makan minum (jimak) sehingga masuk waktu subuh. Sekarang mari kita lihat pula satu dalil hadis yang menolak sama sekali waktu imsak yang diamalkan di Malaysia.

Dari Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik, dari Zaid bin Tsabit ia menceritakan: “Kami pernah makan sahur bersama Rasulullah SAW dan setelah itu kami berdiri untuk mengerjakan solat”. Anas pun bertanya kepada Zaid: “Berapa lama jaraknya antara waktu makan sahur dengan solat?” Zaid menjawab “Kira-kira selama membaca 50 ayat (Al Quran)”.

Dari hadis ini jelas menyatakan bahawa waktu makan sahur adalah kira-kira bacaan 50 ayat dari Al Quran. Kalau membaca ayat-ayat pendek mungkin tempuhnya kira-kira 10 minit dan sekiranya membaca ayat-ayat panjang mungkin tempuhnya 25 - 30 minit. Berdasarkan hadis ini, seseorang yang bersahur pada pukul 4 pagi sebenarnya mereka tidaklah bersahur, mungkin sekadar makan lewat malam atau late supper. Tempuh 10 – 25 minit ini adalah amat bersesuaian dengan lumrah manusia untuk makan. Bagi yang makan dengan laju, 10 minit sudah dikira mampu selesai dan bagi orang yang makan perlahan, 25 minit sudah dikira mampu sangat untuk segala bentuk makan dan minum. SubhanAllah mahasuci Allah.

Melalui perbincangan ringkas ini maka sesungguhnya

1. Waktu imsak adalah bukan sebahagian dari syariaat Islam

2. Nabi Muhamad SAW tidak pernah sama sekali melalui hadisnya mengajarkan waktu imsak iaitu sebagai waktu berjaga-jaga sebelum waktu azan subuh.

Marilah kita semua mencari keberkatan amalan bersahur menurut Islam yang sebenar iaitu kira-kira 10-25 minit sebelum azan subuh kerana menurut hadis dari Anas RA katanya Rasulullah bersabda mafhumnya “Makan sahurlah kamu kerana makan sahur itu mengandungi berkat”.

Satu hadis ialah dari Amru bin ‘Ash RA katanya Rasulullah bersabda mafhumnya “Perbezaan puasa kita dengan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur”

Pada zaman sekarang orang tidak lagi menggunakan benang putih benang hitam untuk azan subuh dan orang juga tidak lagi melihat matahari terbenam untuk azan Maghrib. Penggunaan jam yang tepat adalah dikira lebih mudah. Orang dengan yakin berbuka hanya dengan melihat jam tangan mereka. Begitu juga orang dengan yakin mampu melihat jam tangan mereka untuk mengenalpasti waktu azan subuh. Tolaklah kefahaman waktu imsak dan bersahurlah sehingga waktu azan subuh semoga kita semua mendapat berkat amalan sahur sebagaimana yang dijanjikan oleh Muhamad SAW dari Allah SWT.

Sekian wallahuaqlam

No comments: