Pastinya debaran hati para jemaah bertambah kuat setelah melalui ujian getir ketika berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah
Apabila pelaksanaan rukunrukun haji selesai dilakukan, ini bermakna mereka sudah boleh dilabelkan dengan gelaran haji di depan nama-nama mereka.
Sesungguhnya gelaran haji itu merupakan satu penghormatan daripada manusia yang memanggil dengan gelaran itu.
Ini kerana apabila seseorang itu bergelar haji, bertambahlah tanggungjawabnya terhadap masyarakat, apatah lagi yang berkaitan dengan program masjid atau surau berdekatan, walaupun sebelum ke Tanah Suci, kedua-dua tempat itu jarang dijenguknya.
Sekurang-kurangnya mereka boleh bertindak sebagai ‘rolemodel’ dengan menunjukkan perilaku yang baik, bertutur dengan kata-kata yang manis, menegur-sapa orang-orang di sekeliling tanpa ada syarat tertentu, berbudi bahasa dan jauh daripada sebarang penggunaan kata-kata kesat yang boleh menyinggung perasaan saudara-saudara seagama yang lain.
Tetapi apakah mungkin seseorang yang sudah bergelar haji atau hajah melakukan sesuatu yang terbaik, lebih baik daripada sebelum mereka ke Tanah Suci?
Ia bergantung kepada sejauh mana jemaah haji mendapat pengajaran daripada setiap langkah, perbuatan dan amalan haji ketika berada di sana. Kerana semua amal ibadat dan rukun-rukun haji yang dilakukan sebenarnya ada kaitan dengan persoalan akhirat, iaitu satu keadaan di mana ia mampu mengingatkan manusia untuk berhubung dengan Allah SWT selaku Pemilik hari akhirat dan kiamat, yang akan menghukum kepada siapa sahaja yang tidak tunduk kepada arahan-Nya dan melakukan segala tegahan-Nya.
Justeru, sekembalinya para jemaah haji nanti dari Tanah Suci, apatah lagi diiringi dengan haji mabrur yang diterima di sisi Allah SWT, bagaikan mereka baru keluar (dilahirkan) daripada perut ibu-ibu mereka iaitu tidak berdosa, ia satu keadaan di mana mereka berpeluang untuk menebus segala kesalahan-kesalahan lalu. Ini kerana manusia tidak sepi daripada melakukan dosa, apatah lagi terhadap Allah, Rasul-Nya, kepada kedua ibu bapa, guru-guru, jiran-tetangga, sahabat-handai dan lain-lain.
Apa yang penting setelah bergelar haji, elakkan daripada terlibat dengan banyak duduk di kedai-kedai kopi iaitu satu keadaan sebelum mereka menunaikan fardu haji dengan bersembang pada perkara yang tidak banyak boleh membantu mereka nanti di alam akhirat dan kiamat. Kalau duduk pun, pasti ada sesuatu mesej perlu disampaikan terutama dalam isu hangat terkini dibicarakan oleh kebanyakan orang, iaitu hudud.
Mereka perlu memikirkan bagaimana untuk banyak duduk di dalam rumah-rumah Allah seperti masjid, surau atau di tempat-tempat ceramah yang boleh mengingatkan mereka untuk terus bersiap sedia dengan bekalan-bekalan akhirat, banyak membaca al- Quran, mendengar kuliah atau tazkirah, bercakap pada perkara yang boleh menambahkan pahala, bukan menambahkan ‘koleksi’ dosa, mendalami lebih intim mengenai tujuan dan matlamat utama Allah SWT memerintahkan khalifah-Nya (pemimpin) merealisasikan hudud atau qisas yang termaktub dalam al-Quran.
Justeru, memilih kawankawan yang baik-baik, apatah lagi yang boleh mengingatkan mereka kepada Allah sepertimana yang ditegaskan Allah dalam al-Quran menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud: “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang mengingatkan kamu kepada Tuhan pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah sematamata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”
Paling menarik untuk dikongsi, adalah pengalaman Ibrahim bin Adham (mantan raja di negeri Balh-Baghdad) suatu ketika dahulu, apabila mendampingi ulama merasakan banyak kekurangan yang terabai ketika memerintah Balh, akhirnya beliau berundur untuk memberi laluan kepada siapa yang lebih berhak mentadbir negeri dengan Islam.
Kesedaran kepada agama semakin memnuncak, beliau mendalami ilmu dari seorang berilmu kepada seorang yang alim lain, dari satu negeri kepada negeri yang lain, ia bertujuan untuk memperlengkap diri dengan aspek nilai agama, hingga akhirnya beliau menjadi seorang ahli ibadat yang berilmu, malah dekat kepada Allah serta menjadi rujukan masyarakat sekeliling dalam bidang keagamaan.
Dalam kesempatan bersama masyarakat, beliau sering diajukan beberapa persoalan agama, antara soalan yang diterima ialah mengenai mengapa doa-doa mereka tidak diterima Allah, Ibrahim menjelaskan bahawa terdapat 10 faktor mengapa Allah menolak segala permohonan mereka.
Dalam kesempatan ini, penulis hanya fokus kepada faktor pertama sahaja, menurut Ibrahim, sesungguhnya Allah SWT menolak permohonan hamba-Nya adalah kerana mereka benar-benar mengenali Allah sebagai Tuhan mereka, tetapi pada masa yang sama tidak melaksanakan segala undang-undang Allah yang terdapat di dalam al-Quran, pastinya undang-undang atau hukum yang terdapat dalam kitab suci itu tidak lain adalah hudud, qisas dan lain-lain.
Justeru, bagi jemaah yang berpeluang ke Tanah Suci tahun ini atau tahun-tahun sebelum ini, mereka bukan sekadar menunaikan rukun haji yang kelima sahaja, tetapi pada masa yang sama mereka juga perlu menguasai undang-undang, peraturan serta hukum al-Quran bagi menyempurnakan bukan sahaja rukun Islam, tetapi janji setia mereka di hadapan Allah terutama dalam ungkapan solat mereka, bahawa mahu menjadikan mati dan hidup hanyalah untuk Allah SWT.
Ini termasuk mengelak diri daripada menampilkan diri di khalayak ramai dengan penampilan yang tidak boleh dijadikan contoh seperti memakai gelang tangan, berseluar pendek, membiarkan isteri dan anak-anak gadis tidak menutup aurat dan bertudung ketika berada di luar rumah, tidak menyokong manusia yang suka mempersenda Islam, memakai pakaian yang bersesuai dengan taraf seorang yang bergelar haji, ini tidak lain bagi mengekalkan kelangsungan pahala-pahala haji untuk tahuntahun mendatang.
No comments:
Post a Comment