Friday, July 30, 2010

Khutbah Jumaat: Melayari Internet Dengan Pertimbangan Iman
Tazkirah

Firman Allah swt: 30. Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.

31.dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka…..; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya. Surah al-Nur

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah swt

Tajuk khutbah kita pada hari ini ialah: “MELAYARI INTERNET DENGAN PERTIMBANGAN IMAN.’’

Timbul persoalan apakah hukum melayari internet @ berface book? Jawapannya hukum melayari internet adalah harus samalah seperti hukum berSMS, menonton televisyen pada perkara-perkara yang diharuskan, mengambil gambar dan penggunaan teknologi yang lain. Sesuatu yang harus boleh menjadi haram sekiranya disalahgunakan atau bertentangan dengan hukum Allah seperti pelakon yang berlakon sujud kepada syaitan dalam salah sebuah filem yang disiarkan dalam sebuah saluran televisyen baru-baru ini, demikian juga sesuatu yang harus boleh menjadi ibadat sekiranya niat dan tujuannya baik seperti berblog untuk berdakwah dan menulis sesuatu yang bermanfaat, menyebarkan artikel-artikel yang bermanfaat melalui email, menyebarkan hadith-hadith yang sohih melalui SMS atau medium-medium yang lain. Ringkasnya penggunaan teknologi moden memerlukan kepada pertimbangan iman.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Penggunaan internet tanpa pertimbangan iman boleh mendorong syahwat dan akhirnya membawa kepada perkara yang dilarang oleh Allah swt. Allah swt menjelaskan tentang kelemahan manusia dalam mengawal nafsu seperti dalam firman Allah swt:

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَآئِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ عَلِمَ اللّهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ

Ertinya :

Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan Puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka itu adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahwasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, karena itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu…” (Al-Baqarah : 187)

Melalui ayat ini, sebahagian umat Islam gagal mengikat nafsu syahwat kelaminnya, hingga ‘bersama’ isterinya di siang hari Ramadhan. Dengan segala kelemahan manusia, Allah swt membenarkan suami isteri untuk bersama di malam hari Ramadhan, Namun, itu pun masih ramai yang terlepas melakukannya di siang hari. Berhubung dengan ketidak mampuan manusia dalam mengawal nafsu nabi saw menyarankan kepada umatnya yang melihat wanita yang cantik di luar supaya menunaikan hajatnya dengan isterinya di rumah. Ini semua menunjukkan kelemahan kita dalam mengawal hawa nafsu, justeru nafsu kita perlu dikawal dengan kawalan iman dan taqwa kepada Allah swt.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah swt

Sesiapa yang melayari internet tidak terlepas dari terdedah kepada elemen-elemen multimedia yang mempunyi unsur-unsur yang mendorong kepada syahwat sama ada berupa gambar-gambar wanita yang seksi atau menggoda dan waliyazubillah gambar-gambar porno atau klip video seks sama ada secara sengaja atau tidak sengaja lebih-lebih lagi secara berseorangan.., bahkan unsur-unsur ini tidak dapat dielakkan ketika kita menonton tv seperti siaran Astro Oasis yang banyak menayangkan program-program bermanfaat, program al-Kulliyah, Forum Perdana tetapi malangnya di tengah-tengah program tersebut diselitkan dengan iklan-iklan yang jelas mengundang kemurkaan Allah swt…kerana bimbangkan kepada kesan buruk dari televisyen seorang murabbi yang terkenal al-Syaikh Abdullah Nasih Ulwan dalam kitab Tarbiyatuna al-Ruhiyyah mengharamkan anak-anak menonton televisyen…kesan dari terdedahnya kepada anasir-anasir negatif ini, salah seorang dari rakan saya membuat soalan secara spontan kepada pelajar-pelajarnya siapakah di kalangan kamu tidak pernah menulis surat cinta kepada rakan yang berlainan jantina…hasilnya 98% dari mereka mengatakan kami pernah menulis surat cinta… Marilah sama-sama kita beristighfar kepada Allah swt semoga Allah mengampunkan dosa kita semua..

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Salah satu penggunaan terkini internet yang mempunyai kebaikan dan keburukan ialah penggunaan facebook. Boleh dikatakan kebanayakan anak-anak muda hari ini berfacebook. Persoalannya bagaimanakah kita memanfaatkan face book untuk mendekatkan diri kita kepada Allah swt? Mana-mana mereka yang membuka face book pasti akan terdedah kepada gambar-gambar wanita yang tidak menutup aurat, kalau kita tidak memasukkan gambar tersebut, bagaimana dengan rakan-rakan facebook kita? Sekiranya rakan face book kita gemar untuk memasukkan gambar-gambar yang mengundang dosa maka lebih baik kita deletekan sahaja mereka dari senarai rakan kita..

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Persoalan lain apakah hukum seorang perempuan menjemput lelaki yang bukan mahram untuk menjadi rakan facebooknya atau seorang lelaki menjemput perempuan yang bukan mahram untuk menjadi rakan facebooknya? Persoalan ini perlu dijawab dengan pertimbangan keimanan…Persoalan ini kembali kepada niat berface book…Sekiranya tujuan berface book untuk tujuan pembelajaran antara seorang guru dan murid, untuk tujuan berinteraksi dengan seorang pendakwah, untuk tujuan nasihat-menasihati antara satu sama lain, tidaklah menjadi kesalahan, Cuma perkara yang perlu dipertimbangkan ketika berfacebook dengan tujuan yang disebut pe sejauh manakah kita boleh mengawal perasaan dan nafsu kita semasa kita berinteraksi dengan kaum yang tidak sejantina dengan kita? Tepuk dada tanyalah iman…sekiranya tujuan berface book sekadar untuk mengisi masa lapang, sekadar untuk dijadikan rakan bualan, sekadar hubungan untuk berkawan biasa dan akhirnya membawa kepada hubungan adik, kakak dan abang angkat berlainan jantina maka jauhilahnya kerana ia tidak lain kecuali menjadi pendorong maksiat dan membawa kepada perkara haram .

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah;

Ayat yang dibaca diawal khutbah tadi memerintahkan kita supaya merendahkan pandangan mata apabila berhadapan dengan wanita yang bukan mahram, perintah ini termasuklah ketika kita berhadapan dengan wanita yang menutup aurat apatah lagi wanita yang tidak menutup aurat, justeru khatib menyarankan kepada para jemaah supaya mengingatkan diri mereka, isteri mereka, anak-anak mereka , adik-beradik perempuan mereka terutama yang mempunyai paras rupa yang cantik supaya berhati-hati semasa memasukkan gambar-gambar peribadi mereka sekalipun gambar tersebut dalam keadaan menutup aurat supaya ianya tidak menjadi pendorong kepada dosa kepada lelaki yang mempunyai penyakit hati. Justeru khatib secara peribadi menasihatkan kepada golongan wanita supaya tidak menguploadkan gambar-gambar mereka diinternet kerana ia boleh menjadi tatapan umum, biarlah gambar itu menjadi kenangan dan tatapan mahram anda atau rakan-rakan sejantina anda…

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah;

Tidak dinafikan, ramai juga orang yang sudah punyai ilmu tetapi masih jatuh dan terlanjur melakukan maksiat akibat penyalahgunaan internet, sama ada serius atau tidak, besar dan kecil.

Tatkala itu, datanglah fungsi taubat yang disebut oleh Allah swt di atas, berbekalkan kefahaman dan asas yang sudah ada, usaha mengukuh dan menyuburkannya lebih mudah daripada individu yang tiada asas dan pasak yang kukuh.

Kerana itu, binalah pasak dan akar iman dan ilmu dengan segera terlebih dahulu, tanpanya, sebarang perubahan kepada kebaikan akan terbantut di suku perjalanan dan amat mudah terseleweng akibat gangguan lain di pertengahannya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebagai kesimpulan, sebagai tambahan kepada penjelasan di atas, disertakan beberapa cara, usaha, kaedah dan jalan untuk melayari internet dengan pertimbangan iman secara ringkas dan padat:-

1-Betulkan niat semasa melayari internet, berface book untuk mencari keredaan Allah swt atau tujuan-tujuan yang baik seperti menjalinkan hubungan dengan rakan-rakan sepengajian yang lama seperti rakan-rakan di sekolah atau rakan-rakan di universiti. Begitu juga berblog dengan tujuan berkongsi pengalaman yang baik dan mengingati nikmat Allah swt seperti dalam firman-Nya:

11. adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah Engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.(Surah al-Duha)

2. Datangkan keyakinan Allah maha melihat apa yang dilakukan di ketika ramai dan sendirian ,Allah swt sedang melihat apa yang sedang kita lakukan.

3. Utamakan kasih sayang antara ahli keluarga, jangan kerana asyik berinternet dan berfacebook berjam-jam di hadapan komputer sehingga kita lupakan sahabat di sebelah atau kita lupakan ibu bapa dan anak-anak kita

4. Putuskan hubungan ‘songsang’ dan ‘gelap’ sama ada yang dibuat secara suka-suka atau serius, yang diperolehi melalui internet atau fizikal, melalui laman chat, email, web dan sebagainya. Putuskan semua medium yang boleh mendorong kepada peningkatan syahwat. Jika berseorangan di hadapan komputer itu boleh menyebabkan pemikiran syahwat naik, maka elakkan diri berseroangan di hadapan komputer.

5. Hadiri majlis ilmu dan sibukkan diri membuat target baru seperti membuat blog dan update, menulis buku dan majalah, menghasilkan karya seni lukisan dan sebagainya. Buat satu target lain dalam hidup yang boleh menyibukkan diri anda untuk mencapainya. Tanpa target dalam kehidupan, keinginan syahwat akan membiak dan berkembang akibat waktu kosong.

6. Kalau anda sedang bekerja atau belajar, target untuk cemerlang dalam pelajaran dan kerja anda, dengan itu anda akan lebih sibuk dari biasa dan pemikiran akan lebih terarah kepada tujuan yang digariskan, dengan itu masa anda untuk melayari internet digunakan untuk perkara-perkara berfaedah dan mencari keredaan Allah

7. Ziarahi kubur secara kerap agar syahwat menjadi tawar akibat pemikiran kepada kematian. Justeru apabila anda melayari internet anda akan melayarinya dengan pertimbangan iman

8. Fikirkan bahawa anda akan mati ketika sedang melakukan maksiat semasa melayari internet, adakah redha untuk menerima kematian dalam situasi itu?. Fikirkan selalu.

9. Kalau komputer dan internet kerap menjadi asbab peningkatan syahwat, perdengarkan bacaan Al-Quran setiap kali di hadapan komputer, InshaAllah dengannya rasa malu akan timbul, kalau tidak banyak, sedikit. Kalau syahwat masih menggila di hadapan komputer itu, segera berhenti dan keluarlah dari bilik dan melihat awan, langit, pokok dan laut dan ingatkan kebesaran Allah.

10.Jangan sesekali membiarkan diri terus menerus dipukau nafsu dan syaitan, satu jurus langkah kepada maksiat adalah kunci untuk Syaitan menjerumuskan kepada maksiat yang lebih besar. Apa sahaja perbuatan yang mampu mendorong kepada kehampiran kepada maksiat yang lebih besar mesti disekat segera. Kerana itu Allah swt mengingatkan :-

وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Ertinya : Dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah Syaitan, sesungguhnya dia adalah musuh kamu yang amat jelas ( Al-Baqarah : 168 )

11.Segara beristighfar dan bertaubat walau belum jatuh dalam maksiat yang berat.

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدِّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Ertinya : dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang bertaqwa ( Al-Imran )

Demikian beberapa cara, usaha dan kaedah yang mampu saya senaraikan demi membantu sesiapa sahaja untuk melayari internet dengan pertimbangan iman.

Allah berfirman :-

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا * وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا

Ertinya : Telah berjayalah orang yang membersihkan hatinya dan telah rugilah mereka yang mengotorkannya (Al-Shams : 9-10)

No comments: