Monday, November 16, 2009

Rezeki Siti Buat Konsert Masih Belum Putus

REZEKI penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk membuat konsert masih belum putus.

Tahun ini sahaja, Siti telah menjayakan dua konsert besar iaitu Konsert Eksklusif ‘SATU’ dan Konsert Seribu Warna.

Tahun depan, isteri Datuk Khalid Mohd Jiwa ini akan menganjurkan dua buah konsert lagi iaitu konsert bersama penyanyi veteran, M. Nasir dan bersempena dengan ulangtahunnya ke-15 menjadi anak seni.

Konsert bersama M.Nasir akan diadakan di Esplanade, Singapura pada 1 Januari sementara sebuah lagi konsert dijangka akan dilakukan sekitar April dan tempat masih belum ditetapkan.

Melihat kehangatan Konsert Seribu Warna pada kelmarin, menunjukkan penyanyi ini masih berada di tahap teratas dan peminatnya tidak putus-putus memberikan sokongan.

Diperhatikan, konsert yang dijayakan oleh Siti mampu menyatukan pelbagai jenis bangsa, agama, peringkat umur.

Bak kata penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini, ‘itu untungnya buat konsert Siti, semuanya tenang’ yang sebelum itu sempat berseloroh ‘nasib baik tiada yang bakar kerusi’.

Bercerita tentang konsert ulangtahunnya itu, Siti masih memikirkan konsep persembahan tersebut.

“Saya kena kerja keras lagi untuk melakukan kelainan pada konsert akan datang.

“Begitu juga dengan konsert bersama M. Nasir. Saya ingin tampilkan cara kami yang berbeza. Saya akan lebih berpuas hati kalau mampu membuat semua penonton puas,” ulasnya ketika sidang media seusai Konsert Seribu Warna di Stadium Malawati, Shah Alam.

Hargai Anuar Zain dan Faizal Tahir

Menurut Siti, dia memilih untuk menyanyikan lagu penyanyi Anuar Zain dan Faizal Tahir di konsert itu kerana bakat mereka.

Siti mendendangkan lagu ‘Lelaki Ini’ oleh Anuar Zain dan ‘Mahakarya Cinta’ (Faizal Tahir) selain 10 buah lagunya yang lain.

Antaranya adalah ‘Ku Mahu’, ‘Destinasi Cinta’, ‘Bukan Cinta Biasa’, ‘Pendirianku’ dan ‘Ku Percaya Ada Cinta’.

“Saya hargai bakat Anuar dan Faizal. Lagu-lagu mereka juga diminati ramai. Ikutkan ramai lagi penyanyi lelaki lain yang terbaik tetapi saya perlu buat pilihan.

”Nak menyanyikan lagu lelaki juga perlu pilih juga yang sesuai dengan ‘key’ saya sebab ‘key’ lelaki agak sukar dinyanyikan oleh wanita

“Saya juga cuba menyelitkan konsep yang sedikit ‘cheeky’ seperti yang saya beritahu sebelum ini,” ujarnya lagi.

Siti juga menjemput penyanyi naungan Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd (SNP) iaitu adik dan kakaknya, Siti Nur Saerah dan Siti Nur Saida; serta band Coda.

“Ramai yang mungkin tidak tahu Saerah boleh menyanyi ‘live’ dan hanya mendengar di radio. Kak Saida pula sebelum ini nampak malu-malu tetapi saya cuba bawa mereka ke pentas.

“Alhamdulillah, konsep kali ini juga lebih santai dan menghiburkan,” katanya yang menggayakan gaun malam rekaan Hatta Dolmat.

Sementara pakaian pertama berwarna ungu yang dikenakan semasa konsert malam itu pula direka oleh Rizman Ruzaini.

Corat-Coret Konsert Seribu Warna

Rupa-rupanya Siti meminati penyanyi Beyonce Knowles dan telah pun membeli tiket untuk menonton konsert penyanyi yang popular dengan lagu ‘Halo’ ini tetapi konsert itu dibatalkan pada saat-saat akhir.

Semasa konsert itu, Siti sempat berseloroh dengan berkata, ‘saya beli tiket Beyonce tapi dibatalkan saat-saat akhir. Saya harap terubat hati penonton yang beli tiket konsert Beyonce seperti saya’.

Walaupun nyanyian Siti tetap mantap seperti konsert 'SATU' sebelum ini, namun dia dengan spontan menyelitkan ‘jangan risau tiada juri profesional, pitching lari pun tak pe’.

Setiap lagu yang dinyanyikan oleh Siti pasti mendapat sambutan dan sorakan oleh kira-kira 9,000 penonton. Mereka juga seperti tidak puas dan sama-sama mengalunkan lagu milik suara merdu bak buluh perindu ini.

Kata Siti, ‘peminat saya ramai yang melaram. Ada yang datang nak tengok dekat-dekat..ada yang nak tengok mata dan hidung saya. Ada yang geram sampai cubit pipi saya. Kalau sekali-sekala (cubit) tu ‘ok’, jangan tiap-tiap hari.

“Sebagai artis, saya banyak mengembara dan berjumpa pelbagai jenis orang, kerjaya dan status berbeza tetapi saya tetap berbangga dapat berjumpa dengan peminat sendiri,” luahnya.

Ketika meminta penonton meneka penyanyi pilihannya, Siti yang maksudkan Anuar Zain memberitahu ‘clue’ ‘kami sama-sama terjerat dalam percintaan..opps, sorry bi (Datuk K)’ lalu disambut dengan ketawa daripada penonton termasuk suaminya itu.

Semasa memberikan ‘clue’ untuk penyanyi kedua, ada penonton memekik nama Datuk K lantas Siti menjawab ‘Datuk K tak boleh nyanyi’.

Air Zam Zam: Kehadiran Yang Tidak Boleh Dilepaskan
Jemaah haji yang mengunjungi Masjidilharam di sini, dapat meminum air zam-zam secara percuma iaitu menerusi bekas air yang diletakkan di sudut tertentu masjid atau menerusi paip yang disediakan di kawasan sa'i. Ketika pulang dari Masjidilharam, ada juga di kalangan jemaah terlebih dahulu mengisi botol air mereka dengan air zam-zam lalu dijinjing untuk dibawa ke tempat penginapan masing-masing.

MEKAH: Jemaah haji yang mengunjungi Masjidil Haram untuk mengerjakan umrah, solat berjemaah atau ibadah lain tidak perlu bimbang sekiranya merasa haus.

Ini kerana di setiap sudut Masjidil Haram air zam zam mudah diperoleh, lengkap dengan gelas pakai buang...hanya picit punat bekas takungan air atau pili lalu airpun terpancut keluar dan segala-galanya percuma. Di tempat tawaf, tempat sa'i, di halaman masjid air yang berkhasiat ini sentiasa tersedia.

Ketika pulang dari Masjidil Haram, banyak jemaah terlebih dahulu mengisi botol airnya dengan air zam zam lalu dijinjing untuk di bawa ke tempat penginapan masing-masing. Memang menjimatkan kerana mereka tidak perlu membazir membeli air mineral yang harganya di tanah suci ialah 2SR bagi botol kecil dan 4SR bagi botol besar.

Jemaah dari segenap penjuru dunia yang dianggar dua juta orang juga akan diberi lima liter air zam zam ketika pulang ke tanah air masing-masing.

Pengarah pengagihan air zamzam di Masjidil Haram Aifan Al-Juaid baru-baru ini berkata penggunaan harian air zam zam secara purata ialah 100 meter padu pada hari biasa dan jumlah itu berganda kepada 200 meter padu pada Jumaat, manakala pada bulan Ramadan dan musim Haji, ia meningkat kepada lebih 1,000 meter padu.

Al-Juaid berkata jemaah boleh meminum air zam zam di 90 tempat air itu ditempatkan dengan 1,100 paip di dalam masjid dan di 43 kawasan dengan 100 paip di perkarangan masjid.

Nora Danish: Orang Ingat Saya Lembut, Boleh Pijak Kepala Saya!
Nora bergandingan dengan sahabat baiknya, Lisa Surihani menerusi filem 'Jangan Pandang Belakang Congkak 2'.

JIKA dulu, pelakon Nora Danish selalu mengambil langkah ‘selamat’ dan mendiamkan diri saat disoal tentang kisah peribadi seperti kontroversi penceraiannya.

Biar apa pun helah media, dia tetap tidak mahu memberikan komen dan terus-terusan membuat penafian sehingga terungkainya kebenaran.

Lantas, apabila tercetusnya isu dia tidak profesional dan menarik diri dari drama ‘Spa Qistina’, mudah pula Nora memberikan penjelasan sebenar.

Perubahan ketara Nora yang semakin berani bersuara itu 'menjerat' dirinya dan ramai pihak mula 'membuka mata' untuk mengetahui sebalik isu itu.

Isunya, Nora telah membuat perjanjian dengan produser Global Station Sdn Bhd, Datin Zaiton Mohd Jiwa agar tidak mempertemukan dirinya dengan pelakon Fasha Sandha, yang didakwa menjadi orang ketiga penceraiannya dengan bekas suami, Rizal Ashram.

Namun, Nora menganggap pihak produksi telah melanggar perjanjian itu setelah mendapati Fasha berada di lokasi penggambaran yang sama. Cara Fasha yang sedang bersolek dan membaca skrip di tangannya menimbulkan rasa curiga Nora yang pada waktu itu belum selesai berlakon lagi.

“Apabila sesuatu perkara itu menyentuh tentang prinsip dan harga diri, saya akan cuba pertahankannya.

“Sebelum ini, orang ingat saya lembut, jadi orang boleh pijak kepala saya. Sedangkan orang tak tahu yang saya seorang yang tegas,” ujarnya yang mula menjalani pengambaran filem terbarunya ‘Jangan Pandang Belakang Congkak 2’ sejak semalam.

Kesan daripada insiden itu, Nora berpendapat mungkin ada sesetengah produksi yang takut untuk mengambilnya berlakon.

Namun, ada juga pengarah dan produser yang masih setia menyokongnya seperti Adam Hamid dan Aziz M. Osman.

“Ramai juga yang masih percayakan saya lagi. Misalnya Abang Adam Hamid meyakinkan kepada sesetengah produser yang Nora tidak pernah mendatangkan masalah kepadanya,” katanya yang melakonkan watak sampingan bernama Seha dalam filem ‘Jangan Pandang Belakang Congkak 2’.

Filem yang turut dilakonkan oleh Mazlan Pet Pet, Cat Farish, Lisa Surihani, Azlee Senario, Piee, dan Bob Kuman ini mengisahkan tentang Pak Mor (Azlee) dan Mustika (Lisa) yang berpakat untuk menghapuskan Punai (Mazlan) dan Asmat (Cat).

Asmat memberitahu ada seorang bomoh yang dirasakan boleh menolong mereka iaitu Wak Ketari (Bob Kuman).

Lalu mereka pun pergi mencari rumah Wak Ketari. Mereka menceritakan apa yang terjadi kepada diri mereka dan mereka ingin menuntut ilmu ‘kebomohan’ daripada Wak Ketari.

Wak Ketari bersetuju untuk mengajar mereka tetapi mengenakan syarat-syarat yang ketat yang mesti mereka patuhi.

Pada mulanya mereka keberatan untuk belajar kerana syarat-syarat yang dikenakan terlalu ketat tetapi setelah terpandang Seha, anak gadis Wak Ketari yang cantik, terus mereka bersetuju untuk belajar.

Bermula dari hari itu, mereka belajar dan menghadapi berbagai masalah semasa belajar kerana Wak Ketari seorang yang tegas dan garang.

Sebelum mereka lulus, mereka dikehendaki menjalani satu ujian di mana mereka dikehendaki menangkap hantu.

Pak Mor dan Mustika mendapat tahu yang mereka kini menetap di kampung Wak Ketari.

Pada malam itu, Pak Mor dan Mustika dengan bantuan hantu-hantu mereka berjaya menculik Seha.

Wak Ketari kemudian menilik dan mendapati anaknya diculik oleh Pak Mor dan Mustika, kemudian mengarahkan Punai dan Asmat pergi menyelamatkan Seha.

Beritahu Nora, filem itu merupakan filem ketiganya selepas tiga tahun. Kali terakhir filem lakonannya adalah ‘Senario: Memburu Emas Yamashita’.

Namun filem itu merupakan filem pertamanya di bawah pengarah Ahmad Idham dan bergandingan dengan Bob Kuman.

"Walaupun saya sudah lama tidak berlakon filem, tetapi saya sudah bersedia kerana merasakan mutu lakonan saya semakin meningkat," jawabnya yang akan bercinta dengan Mazlan Pet Pet dalam filem itu.

Dalam masa yang sama, Nora juga meluahkan yang dia rindu untuk berlakon drama 'Puteri' memandangkan dirinya mula dikenali dan membesar dengan siri popular itu.

Bagaimanapun, Nora memaklumkan 'Puteri' tidak akan disambung dalam bentuk drama lagi tetapi khabarnya akan dibuat filem berjudul 'Puteri The Movie'.

Iklan Berbayar Utama

Tambah Pendapatan dengan Jus Vemma

Shopping Centre Your Online Choice