Saturday, April 23, 2011

Hormati Guru dan sedikit teguran buat Cikgu Shida

Saya menulis di sebuah Cyber Cafe berhampiran rumah sewa di Kota Bharu. Aduh, bingit telinga dengan dentuman muzik! Tapi, usaha juga untuk menulis. Kita tidak KALAH dengan 'arus'! InsyaALLAH!

Hormati Guru

AlhamduliLlah, sedikit pengalaman mengikuti pengajian dalam bentuk Talaqqi banyak memberi pengajaran dan manfaat buat saya. Ilmunya satu hal, nilai-nilai murni seiringnya itu hal lain.

Dalam pengajian Talaqqi, betapa kita diajar menghormati guru di hadapan. Kerana, itulah sumber berkat yang memperkuat kefahaman kita terhadap ilmu yang disampaikan.

Kata orang Kelantan, 'menadah kitab'. Anak murid akan duduk bersila dan berhimpit-himpit ke arah guru tanpa mengira beza umur. Bahkan kadang-kadang, kita akan duduk bersebelahan dengan guru kita yang lain yang turut sama mengikuti pengajian guru di hadapan!

Menadah itu, ertinya kita letakkan diri kita lebih rendah. Bukankah bekas untuk menadah sesuatu mesti lebih rendah? Ini, antara sekian banyaknya nilai yang dapat kita perolehi.

Guru, walau apa sekalipun ilmu yang diajarnya kepada kita, WAJIB dihormati. Guru yang mengajar kita baca-kira-tulis, matematik, sains WAJIB dihormati. Apatah lagi yang mengajar Aqidah, Fiqah dan Akhlak.

Kerana, guru itu kerjanya bukan sahaja mengajar ilmu. Lebih penting, mereka mendidik kita. Apa yang kita jadi hari ini, besar sekali adalah daripada apa yang kita perolehi daripada guru kita dahulu.

Imam Syafie RH sudah menunjukkan kita mengenai akhlak dengan 'guru'. Imam Syafie menobatkan seorang kafir sebagai gurunya, kerana telah mengajar beliau mengenai cara mengenalpasti jantina anjing berdasarkan cara binatang tersebut membuang air! Nah, apatah lagi guru-guru yang mendidik dan memberi kita ilmu yang lebih penting, ilmu-ilmu yang menjadikan kita manusia berguna.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz menekankan peri-pentingnya untuk bersama, membiasakan diri dan menyontohi guru-guru dan para Ulama'. Membiasakan diri bersama guru dan para Ulama' sebagai satu cara penting untuk mendidik diri dan membentuk jiwa kita.

Ia adalah sunnah! RasuluLlah SAW bersama para sahabat. Sahabat-sahabat melihat cara RasuluLlah SAW tidur, makan, solat. Bersama Baginda dalam peperangan, dalam musafir, dalam KEHIDUPAN malahan! Itulah MULAZAMAH kata TN Guru Nik Aziz.

Maka begitulah jua, cara yang perlu kita contohi. Bagi seorang penuntut ilmu, penting untuk kita ber'mulazamah' bersama guru dan para Ulama'. Bagi para guru pula, perlu mereka tunjukkan contoh tauladan yang baik dan selari dengan Islam. Kerana, peribadi guru itu akan sangat memberi bekas kepada pelajar mereka.

Cikgu Shida dari Parit

Saya sedih sekali, melihat guru yang begitu popular di ruang maya itu. 'Unik' sungguh cara 'menarik minat' pelajarnya.

Saya fikir, guru tugasnya bukan sahaja memastikan pelajarnya cemerlang dalam peperiksaan. Pentingnya, kerja guru itu mendidik jiwa dan peribadi pelajar, bukan begitu?

Saya gusar sekali, dengan jiwa para pelajar yang bakal terbentuk daripada 'cara didikan' sebegitu rupa.

Juga, imej guru-guru lain yang tampak hodoh kerana 'nila setitik' itu.

Kalau betul pun mahu 'mempelbagaikan' cara, atau sekadar 'suka-suka', kita orang beragama. Ada cara dan batasnya dalam mencari kepelbagaian dan bersuka-suka.

"Cikgu, saya pohon, berhentilah. Tidak kena benar nampaknya cara cikgu.Tidak kena dengan akhlak seorang muslimah. Bahkan tidak kena dengan imej seorang guru. Kita sudah punya ramai artis-artis melayu yang lebih barat daripada barat untuk kerja-kerja 'ini'."

p/s Saya bimbang benar, 'cara' ini akhirnya menjadi suatu cara yang diterima. Dan, entah bagaimanalah generasi pelajar yang lahir lewat didikan sebegini rupa. NauzubiLlah..

Syed Mokhtar luas empayar, DRB-Hicom kuasai Pos Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 April — Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengembangkan empayar niaga beliau — hari ini diumumkan yang syarikatnya, DRB-Hicom Bhd berjaya dalam bidaan menguasai 32.2 peratus pegangan Khazanah Nasional di Pos Malaysia Berhad.

DRB Hicom dimiliki Syed Mokhtar (gambar) yang turut menguasai bisnes lain, antaranya perkhidmatan pelabuhan dan pengeluar tenaga bebas terbesar negara Malakoff Corp, pembekal beras nasional Bernas dan pengedaran gas melalui Gas Malaysia.

Syarikatnya MMC juga terlibat dalam projek MRT Lembah Klang dengan kerjasama Gamuda.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan petang ini, Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar berkata, DRB-Hicom dipilih berdasarkan keseluruhan bidaan, yang bukan sahaja menawarkan strategi niaga baik tetapi juga harga yang boleh diterima.

“Strategi dan pelan bisnes yang disyorkan menyediakan platform yang efektif bagi pertumbuhan Pos Malaysia jika diterima oleh Lembaga Pos secara keseluruhan,” katanya.

Laporan media sebelum ini menyebut tiga pembida telah disenarai pendek daripada 50 pembida yang mengemukakan bida bagi membeli kepentingan berkenaan.

Selain DRB-Hicom, turut disenarai pendek ialah Nationwide Express Courier Services Bhd dan konsortium usaha sama antara Amanah Reit dan Malaysia Pacific Corp.

Antara strategi dan pelan perniagaan DRB-Hicom yang dikemukakan DRB-Hicom ialah mewujudkan sinergi strategik antara bank Islam yang dikuasainya iaitu Bank Muamalat Malaysia Bhd dengan Pos Malaysia.

Bank Muamalat, bank Islam ketiga terbesar Malaysia dari segi aset, dikatakan mampu menjadi rakan sinergi terbaik bagi Pos Malaysia terutama dalam mengembangkan rangkaian produk serta perkhidmatan serta jangkauan capaian pelanggan masing-masing.

DRB-Hicom juga dikatakan berupaya memastikan Pos Malaysia meneruskan tanggungjawab Universal Service Obligations (USO), selain mengekalkan kakitangan sedia ada.

Pos Malaysia kini mempunyai lebih 1,000 cawangan di seluruh negara. Bank Muamalat pula ketika ini hanya mempunyai 56 cawangan.