Tuesday, November 17, 2009

Kiamat Berlaku '2012' Hanya Satu Kisah Dongeng?

SEMUA agama menyebut tentang saat kehancuran atau Hari Kiamat. Tapi bila dan bagaimana, sukar untuk diramal.

Bayangkan bumi yang kita pijak tiba-tiba terjunam jauh ke dalam perut bumi dan sebahagian lagi pula terus hilang lenyap ditelan laut?

Dahsyat...beginilah keadaan bumi yang musnah yang digambarkan menerusi filem 2012

Dan ada sesetengah orang meramalkan Hari Kiamat itu semakin hampir - tahun 2012, lebih tepat lagi pada tanggal 21 Disember 2012. Begitulah ramalan Suku Maya, pakar ilmu falak. Tapi benarkah Kiamat boleh diramalkan?

Columbia Pictures berjaya menghasilkan sebuah filem yang menggambarkan bagaimana dahsyatnya kedatangan hari kiamat dan judul yang 'paling sesuai' tentulah "2012", yang kini sedang rancak ditayangkan di seluruh dunia.

Penceritaan filem ini bermula dengan babak yang berlokasi di India bila seorang ahli geologi, Dr Satnam Tsurutani (Jimi Mistry), menemukan fakta bahawa inti dari perut bumi mengalami kenaikan suhu kerana kesan yang diakibatkan oleh ledakan besar di permukaan matahari (sun flare).

Menurut perhitungan, ledakan itu menghasilkan gerakan pada tengah bumi. Akibatnya, bumi bakal hancur kerana gerakan itu akan mengakibatkan gempa bumi yang sangat dahsyat.

Atas dasar perhitungan itulah, Dr Adrian Helmsley (Chiwetel Ejiofor), sahabat Dr Satnam, membuat laporan ke Rumah Putih (White House) bahawa kiamat akan tiba. Adrian bertemu ketua staf di Rumah Putih, Carl Anheuser (Oliver Platt).

Columbia Pictures berjaya menghasilkan sebuah filem yang menggambarkan bagaimana dahsyatnya kedatangan hari kiamat

Carl yang selama ini meremehkan pertemuan bumi yang memanas itu terkejut dan terus membawa usul itu ke pertemuan negara-negara G8 di tahun 2010. Dalam kesempatan itu, Presiden Amerika Syarikat Thomas Wilson (Danny Glover) menyampaikan kepada para pemimpin tertinggi dunia bahawa bumi akan dilanda musibah besar kerana inti bumi yang terus memanas.

Sejak perkhabaran itu, mulailah sebuah rencana besar. Semua negara sepakat memilih China sebagai tempat untuk membuat sejumlah bahtera besar. Barangkali mirip bahtera Nabi Noh, yang akan digunakan saat bencana besar tiba.

Sementara itu, turut dipaparkan kisah lain tentang kehidupan Jackson Curtis (John Cusack) penulis buku berjudul 'Farewell Atlantis'. John telah datang ke rumah bekas isterinya, Kate Curtis (Amanda Peet), untuk menjemput anak mereka, Noah (Liam James) dan Lily (Lily Morgan), berkemah.

Mereka tiba di lokasi perkemahan Yellowstone dengan menaiki limosin. Namun, setibanya di sana ada tanda larangan masuk menuju danau Yellowstone tapi Curtis dan kedua-dua anaknya nekad menceroboh larangan itu.

Di sana mereka terperanjat kerana danau tersebut tiba-tiba lenyap kerana pemanasan bumi.

Ketika sedang berkemah, Curtis bertemu penyiar radio bernama Charlie Frost (Woody Harrelson), yang mempunyai penampilan seperti orang gila. Charlie memberitahu bahawa bumi akan segera dilanda bencana dahsyat. Charlie juga mendakwa dia mempunyai peta lokasi pesawat yang boleh menyelamatkan manusia dari bencana itu.

Curtis terpaksa pulang lebih cepat kerana Kate sedang trauma kerana dia baru saja mengalami gempa. Setelah anak-anak kembali ke rumah ibunya, Curtis kembali bertugas menghantar anak kembar bosnya, Yuri Karpov (Zlatko Buric).

JALAN CERITA LEMBAB TAPI MENARIK

Salah satu adegan mencemaskan di dalam filem tersebut

Curtis mulai mempercayai ramalan Charlie tentang kiamat apabila dia menyaksikan jalan di bandar terbelah kerana gempa. Curtis mengambil jalan pintas menyewa pesawat dan seorang juruterbang untuk menyelamatkan keluarganya dengan bayaran jam tangan mahal miliknya.

Babak suspen bermula dari sini bila Kiamat yang diramalkan banyak pihak benar-benar terjadi dan ianya dimulai dari gempa bumi di mana-mana.

Tanpa membuang masa, Curtis terus menjemput Kate dan anak-anaknya.

Setelah berhasil menyelamatkan keluarganya dan teman lelaki Kate, Gordon Silberman (Tom McCarthy), Curtis segera memecut limosinnya ke bandar.

Di sini adegan agak mencemaskan, bila penonton terpaksa menahan nafas melihat mobil mewah meliuk-liuk, cuba menghindari gedung-gedung yang ranap, bangunan tersembam ke bumi serta jalanan yang merekah dan ternganga luas kerana gempa yang maha dahsyat.

Rombongan Curtis sempat tiba di bandar tapi juruterbang yang disewa Curtis tewas. Akhirnya, Gordon yang pernah mengikuti kursus penerbangan mengambilalih dan membawa pesawat itu. Dari dalam pesawat mereka melihat bencana yang luar biasa....semuanya hancur luluh dan binasa.

Di Rumah Putih, Dr Adrian mendapat perkhabaran kenaikan suhu inti bumi terus naik dengan mendadak. Hal ini membuat Adrian terkejut kerana perkiraannya meleset dan Kiamat datang lebih cepat. Pemerintah pun segera melakukan usaha menyelamat. Dan Presiden Thomas menolak cadangan untuk 'dievakuasi' ke China dan memilih tinggal bersama rakyatnya.

Panik...Jackson Curtis (John Cusack) dan anaknya lakonan Lily Morgan ketika berdepan dengan bencana alam yang dahsyat

Akhirnya sebuah tsunami setinggi ribuan meter menghentam Rumah Putih dan isi kandungannya. Gegaran yang dasyat menyebabkan kapal induk John F Kennedy CV-63 terbabas dan menghentam Rumah Putih.

Gempa dan tsunami terjadi di seluruh pelusuk. Belahan dan rekahan terjadi di mana-mana di seluruh dunia...bumi hancur, sehancurnya.

Bahkan kutub selatan dan utara turut bergesel dan semua daratan terseret dan tersasar sejauh ribuan batu dari lokasi semula.

Dalam bencana tragis itu, hanya sedikit yang terselamat, termasuk rombongan pesawat Air Force One yang bergerak ke China, menuju "Bahtera Nuh" yang dibuat.

Tanpa disangka Curtis dan keluarganya selamat mendarat di China menggunakan pesawat Antonov yang dibawa Shasha, anak buah Yuri, dengan dibantu oleh Gorgon.

Rombongan Curtis kemudian ditinggalkan oleh Yuri dan anak kembarnya kerana mereka ada tiket naik ke kapal besar tersebut. Dalam saat berputus harap, Curtis dan keluarga, seorang sami yang sedang menuju ke bahtera raksasa itu menolong menumpangkan mereka.

Adegan cemas dan debaran dirasakan di saat ini apabila pintu kapal dibuka secara mendadak, dan mengorbankan Gordon. Tapi saat pintu kapal hendak ditutup lagi, sebuah perkakas jatuh dan mengganjal roda penggerak pintu. Mereka yang di dalam kapal panik kerana mesin tidak boleh dihidupkan jika pintu masih terbuka. Di saat itulah, sebuah tsunami setinggi gunung sudah bergerak pantas menuju ke arah kapal .....

2012 LEBIH HEBAT

Filem 2012 ini tidak jauh beza dengan filem bencana besar di bumi, seperti The Day After Tomorrow (2004). Tetapi dalam banyak hal, filem 2012 jauh lebih hebat dan dahsyat penggambarannya.

Impak yang ditinggalkan juga amat 'real' dan efek visualnya jauh lebih bagus.

Setimpal lah dengan kos pembikinan filem ini yang mencapai 200 juta dollar AS.

Tapi jalan ceritanya boleh dijangka (predictable). Malah ada ketika amat perlahan dan lembab sekali jalan penceritaannya.

Filem ini turut menuntut kesabaran kerana durasinya yang cukup panjang, 2 jam 40 minit, sama 'hebat' dengan filem Bollywood.

Namun, apapun kelemahan filem ini, setidaknya filem '2012' membolehkan kita menggambarkan bagaimana dunia hancur kerana kekuatan alam yang amat dahsyat.

Saya kurang selesa dengan sebutan kiamat untuk filem ini. Rasanya kurang tepat kerana masih ada manusia yang selamat. Kalau sudah kiamat, ia sepatutnya 'The End.'

Mungkin lebih tepat kalau disebut bencana besar, seperti yang terjadi di zaman Nabi Noh, di mana banjir besar melanda bumi. Dan Noh selamat setelah naik sebuah bahtera berisi semua jenis binatang dan tumbuhan dan mampu menyambung hidup selepas bencana alam.

Ada elemen keinsafan di mana filem ini mengingatkan kita, yang semua milik kita tidak hakiki, kekal dan abadi. Bila sudah ditakdirkan-Nya dan alam sudah 'mengamuk', manusia tidak berdaya melawannya.

Dan yang manis filem ini memberi kesedaran, tak payahlah bergaduh kerana manusia itu bersaudara. Saat menghadapi bencana dahsyat meragut nyawa, tak ada lagi si kaya dan si miskin, tak ada kelompok bangsa, agama dan sempadan.

Tapi seperti banyak hal yang lain, hanya apabila bencana tiba, barulah penyesalan akan datang. Tapi sayang sekali, semuanya sudah terlambat kerana kiamat boleh berlaku bila-bila masa saja.