Thursday, May 5, 2011

Arah Qiblat di Impiana, Alam Budiman

Saya baru sahaja berpindah ke Alam Budiman, Shah Alam. Sudah hampir sebulan saya di tempat baru ini. Masih belum ramai orang di fasa yang saya tinggal ini.

Antara perkara pertama yang datang ke fikiran saya ialah arah qiblat, iaitu ke arah mana hendak dihadapkan wajah & tubuh ini tatkala solat. Sebelum berpindah, saya telah rujuk ke peta Alam Budiman dan secara kasarnya tahulah ke mana arahnya.

Antara kaedah-kaedah lain yang saya gunakan ialah:

CARA 1: Memandangkan surau sudah siap, jadi sudah tentulah surau akan menjadi rujukannya. Alhamdulillah, sebelum masuk rumah, saya sudah beberapa kali bersolat di surau Alam Budiman. Saya telah memilih waktu Asar sebagai waktu saya anggarkan arah qiblat di rumah saya. Selesai solat Asar berjamaah di surau, saya lihat pula bayang yang dihasilkan oleh objek tegak berdiri. Ya, ia sama dengan garisan arah qiblat di surau. Kenapa pilih waktu Asar? Kerana waktu Asar adalah waktu petang, dan waktu petang adalah waktu yang mana ia mewujudkan bayang yang paling panjang, jadi senang nak anggarkan. Sampai di rumah, saya lihat objek tegak berdiri dan bayang yang dihasilkan. Dari bayang yang dihasilkan, dapatlah saya anggarkan mana arah qiblat.

CARA 2: Menggunakan kompas. Ya cara ini agak biasa orang lakukan, dan semua orang tahu caranya. Arah qiblat ialah 292.57° diukur dari arah Utara. Jika menggunakan kompas qiblat, ada booklet diberi menyatakan nombor tertentu untuk kawasan tertentu.

CARA 3: Menggunakan website. Website QiblaLocator telah saya kenali beberapa tahun yang lalu, dan saya dapati sangat mudah digunakan bagi menganggarkan arah qiblat. Laman webnya adalah seperti berikut:

http://www.qiblalocator.com/

Kita hanya perlu masukkan lokasi yang diingini atau ‘drag’nya sahaja. Satu garisan berwarna merah akan menunjukkan arah qiblat yang betul, insyaALLAH.

Ini adalah gambar rumah saya beserta arah qiblat yang ditunjuki menggunakan kemudahan yang ada di website di atas, alhamdulillah:

Arah Qiblat Ditunjukkan Dengan Garis Merah

Arah Qiblat Surau Alam Budiman

CARA 4: Menggunakan tarikh 28 MEI dan 16 JUN untuk menentukan arah qiblat. Pada tarikh tersebut setiap tahun akan berlaku fenomena Istiwa A’zam yang mana kedudukan matahari betul-betul di atas Ka’bah yang mulia. Fenomena Istiwa A’zam adalah kaedah yang digunakan oleh ahli falak sejak berzaman bagi menyemak kedudukan arah qiblat. Kaedah untuk menentukan arah qiblat dengannya telah saya tulis di blog ini.

Mudah-mudahan catitan ini bermanfaat buat pengunjung laman blog ini, khususnya buat bakal jiran-jiran saya di Impiana, Alam Budiman, insyaALLAH.

WAllahu Ta’ala A’lam.

AMALKANLAH mana-mana yang baik yang dijumpai di dalam blog ini. Dan SEBARKANLAH ia. Jangan lupa untuk sertakan sekali alamat www.muzir.wordpress.com, supaya memudahkan proses rujukan. Semoga dengan mengamalkannya dan menyebarkannya, kita semua akan diganjari ALLAH Ta`ala dengan kebaikan yang banyak, amin.

Istiwa A’zam – Kedudukan Matahari Tepat di atas Ka’bah

Arah Qiblat boleh disemak dengan tepat ketika Istiwa A'zam

Penentuan arah qiblat yang tepat sangat penting kerana ia merupakan antara syarat sah solat samada solat fardhu atau sunnat. Jadi ummat ISLAM mesti memastikan kedudukan arah qiblatnya tepat mengadap Ka’bah.

Alhamdulillah, setiap tahun ada 2 waktu yang telah ALLAH subhanahu wata’ala tentukan kedudukan matahari betul-betul tepat di atas Ka’bah. Fenomena ini dipanggil Istiwa A’zam (Istiwa Utama).

Alhamdulillah, dengan ketentuan ALLAH ‘Azza wa Jalla ini, membolehkan ummat ISLAM di seluruh muka bumi sejak dahulu hingga hari kiamat memeriksa dan menyemak arah qiblat dengan mudah dan tepat. SubhanALLAH…

Bilakah Istiwa A’zam berlaku?

Di Malaysia, waktu berlakunya fenomena ini ialah pada:

  • 28 MEI setiap tahun, tepat pukul 5.16 petang, dan
  • 16 JULAI setiap tahun, tepat pukul 5.28 petang.

Apa yang perlu dilakukan untuk menyemak qiblat dengan tepat?

Sebelum

  • Pastikan jam yang selalu dibuat rujukan oleh tuan/puan mengikuti waktu piawai yang tepat. Untuk menentukan ketepatan waktu, tuan/puan boleh memeriksanya dengan SIRIM atau boleh juga merujuk kepada waktu yang terpapar di televisyen atau radio. Ketepatan waktu yang mengikut piawai adalah penting untuk mendapat hasil yang betul. Justeru, betulkan jam tuan/puan mengikut waktu piawai yang betul.
  • Cari objek lurus yang keras seperti batang kayu, tiang atau pen.
  • Pacakkan objek tersebut secara menegak (bersudut 90°) di atas permukaan yang rata.
  • Pastikan bayang-bayang yang terhasil dari objek tersebut jelas boleh dilihat dengan terang dan jelas.
  • Dan pastikan juga tuan/puan boleh melihat matahari dari kedudukan tempat tuan/puan pacakkan objek lurus tersebut dan tidak terlindung.
  • Tunggu dengan sabar waktu yang disebutkan di atas.

Ketika peristiwa ini berlaku:

  • Perhatikan bayang-bayang yang terhasil dari objek lurus yang dipacakkan tersebut.

  • Arah qiblat adalah arah yang bertentangan dengan jatuhnya bayang-bayang itu. (Rujuk gambar di atas)

  • Tandakan arah qiblat.

Selepas.

  • Yakinlah bahawa itu merupakan arah qiblat yang tepat.
  • Bersyukurlah kepada ALLAH subhanahu wata’ala yang telah memberikan peluang untuk tuan/puan memeriksa arah qiblat melalui kaedah ini.

  • Hadapkanlah tubuh tuan/puan ke arah qiblat tersebut dengan penuh khusyuk ketika solat fardhu dan sunnat.

Mudah-mudahan perkongsian ini bisa memberikan manfaat buat tuan/puan yang mahu mengambil manfaat. Sebarkan, insyaALLAH…

Tuan/puan juga boleh mengambil manfaat dari website Falak Online berkenaan hal di atas atau mendownload PDF file berikut: [KLIK SINI].

WAllahu Ta’ala A’lam.

Shahmuzir Nordzahir

Petrol RON 97 naik 20 sen lagi menjadi RM2.90

Bermula tengah malam ini, petrol RON 97 akan dijual pada harga baru, iaitu RM2.90 seliter.

Kenaikan itu bagaimanapun tidak melibatkan RON 95 dan bahan api lain di negara ini.

RON 95 kekal pada harga RM1.90 seliter.

Kenaikkan RON 97 ini adalah yang tertinggi dalam sejarah negara dan dipercayai berikutan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia.

petrol price hike panic 010705 shell stationBulan lalu, harga petrol RON 97 dinaikkan 20 sen kepada RM2.70 seliter.

Harga RON 97 diapungkan sejak 31 Januari lalu mengikut harga pasaran semasa dan sejak itu ia kali ketujuh harga petrol gred itu dinaikkan.

Petrol gred ini lazimnya digunakan oleh kenderaan yang memerlukan prestasi yang tinggi. Semua kenderaan berpendaftaran asing dilarang membeli RON 95 dan mereka menggunakan minyak gred RON 97.

RON 97 pada suatu ketika juga adalah minyak yang seringkali digunakan oleh rakyat sehingga minyak lebih murah RON95 diperkenalkan pada September 2009. Ketika itu RON 97 berharga RM1.80 seliter.

Tanda akhir zaman: Punca dapatkan harta tidak penting

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Daripada Abu Hurairah ra berkata : Bersabda Rasulullah SAW maksudnya : "Akan datang suatu zaman seseorang tidak memperdulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun haram." (Hadis Riwayat Nasak)

Di zaman sekarang ini merupakan zaman ketandusan rohani dan zaman materialisma, segala sesuatu adalah bernilai dengan nilai harta. Manusia cakar mencakar untuk memperolehi sebanyak mungkin kekayaan, mereka tidak memperdulikan dari mana datangnya harta yang diperolehi, apakah dari sumber yang halal atau dari sumber yang haram. Yang penting, harta dapat dikumpulkan sebanyak-banyaknya untuk memenuhi kehendak nafsu atau pun untuk melayan kehendak isteri atau anak-anak mereka, supaya dapat hidup dengan kemewahan dan keseronokkan.

Apabila diteliti jenis-jenis pekerjaan dan sumbar pendapatan yang haram yang mana ramai umat Islam terlibat daripada sumber-sumber seperti berikut :

Pertama : Arak

Kedua : Riba

Ketiga : Rasuah

Keempat : Mengadai maruah


Huraiannya adalah seperti berikut :

Pertama : Arak

Bekerja dan berusaha mencari sumber kehidupan mesti dilakukan dalam kerangka yang dibenarkan agama. Walaupun Islam mewajibkan umatnya bekerja dengan gigih dan berdedikasi, pencarian sumber kehidupan tersebut seharusnya selari dengan aturan yang dibenarkan agama saja. Ini termasuk aspek melibatkan minuman memabukkan seperti arak.

Sebenarnya Islam bukan saja mengharamkan umatnya minum arak, tetapi juga segala perkara yang berhubungkait dengan penghasilan dan pemprosesan arak. Mungkin sesetengah kita beranggapan mereka hanya bekerja, tetapi tidak terlibat dengan meminumnya. Ini salah dan amat bertentangan dengan ajaran Islam.

Dalam hal ini, ada baiknya kita lihat apa yang pernah disampaikan Ibnu Mas’ud yang katanya: “Telah dilaknat dalam (urusan) khamar (arak) itu, iaitu orang yang memerah, yang diminta diperahkan, yang meminumnya, yang memberi minuman, orang yang bertugas menghantar, yang membekal, yang menjual, yang membeli dan juga yang menyimpannya.”

Dalam zaman sekarang ini termasuk juga orang yang mengiklankan arak dan orang yang terlibat membeli saham syarikat arak.

Ini kategori manusia yang dikira terlibat secara langsung dengan arak. Jadi, bekerja di premis pemprosesan arak termasuk dalam jenis manusia yang akan mendapat laknat Allah sebagaimana digariskan Ibnu Mas’ud tadi. Walauapapun tarikan berupa kebendaan dan upah lumayan, sebagai umat Islam kita ditegah sama sekali terlibat dalam industri pengeluaran arak. Ini kerana segala hasil pendapatannya juga akan termasuk dalam kategori sumber yang haram. Sanggupkah kita makan dan memberi makan anak isteri dengan hasil sumber yang haram?

Amat malang seandainya ada di kalangan umat Islam masih setia dan sayang dengan pekerjaan di indusrti haram seperti kilang memproses arak atau di premis penjualan arak samaada dipasaraya atau pasar mini milik orang bukan Islam, termasuk juga bekerja disyarikat penerbangan yang ada menyediakan arak kerana senario sebegini sangat mengaibkan maruah agama.

Kejernihan hati banyak tergantung kepada kesucian rezeki. Jika makanan dan minuman yang mengalir dalam tubuh diperolehi dari sumber yang baik, maka bahan tersebut akan menyumbang keperibadian mulia dalam diri seseorang. Sebaliknya jika darah yang mengalir dalam tubuh diperolehi dari sumber rezeki yang haram, maka segala tingkah laku, budi pekerti dan akhlak seseorang akan dicorak oleh jenis makanan haram tersebut.

Mencari rezeki yang halal untuk menyara kehidupan merupakan perintah Allah kepada hambaNya yang cintakan kebenaran. Sedangkan punca pencarian untuk meneruskan kehidupan terdiri dari berbagai cabang dan arah. Dari sekian banyak sumber usaha tersebut, perniagaan merupakan sembilan persepuluh (90%) dari sekalian punca rezeki yang terdapat di dunia ini. Sesungguhnya perniagaan yang jujur dan ikhlas akan menghasilkan rezeki yang berkat.


Kedua : Riba

Islam melarang umatnya bekerja di syarikat atau perbankan yang menggunakan sistem riba dalam urusniaganya. Syarikat yang terlibat adalah seperti di bank-bank konvensional, syarikat insuran nyawa, syarikat kewangan berlesen, kedai pajak gadai cara konvensional dan menjadi pengutip wang untuk syariakt pinjaman tanpa lesen (along) dan sebagainya.

Dari Jabir r.a, ia berkata : Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, pemberi riba, penulis, dan kedua orang yang menjadi saksi atasnya. ia berkata : “mereka itu sama (saja). (Hadis Riwayat Muslim : 3/219).

Begitu hebat sekali sistem riba menguasai pasaran di dalam masyarakat kita, ramai umat Islam bekerja di syarikat yang mengamalkan sistem riba sedangkan jelas Allah S.W.T mengharamkan sistem riba dan terdapat di dalam ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 278-279.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman , bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba (yang belum di pungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah , bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu . Dan jika kamu bertaubat (dari mengambil riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” (Surah Al- Baqarah ayat 278-279)

Walaupun sudah ada altenatif menggunakan sistem muamalah secara Islam (melalui Bank Islam, Takaful dan sebagainya) tetapi umat Islam masih suka dan seronok bekerja disyarikat-syarikat tersebut, yang mana telah jelas bahawa sumber rezeki yang diperolehi adalah haram di sisi Islam.


Ketiga : Rasuah

Islam memberi amaran keras kepada manusia supaya tidak terbabit dengan perbuatan rasuah. Islam mengharamkan mengaut harta orang lain secara rasuah sedangkan menyedari perbuatan itu berdosa.

Ketika mengulas perkara itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi orang perantaraan." (Hadis riwayat Ahmad)

Islam mengharamkan rasuah kerana menjadi penyebab kezaliman berlaku dalam masyarakat, orang yang tidak bersalah boleh dihukum bersalah, menghapuskan peluang mereka yang sepatutnya layak dan penyebaran harta di kalangan pihak tertentu saja. Selain itu, kita bimbang gaya hidup rasuah akan mempengaruhi tabiat integriti keturunan akan datang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh daripada sumber haram, maka akan dihumbankan dalam api neraka." (Hadis riwayat Baihaqi dan Tirmizi)

Berdasarkan hadis itu jelas ada kaitan kuat bahawa keturunan dan anak pinak yang bersumber daripada darah daging haram akan kemungkinan besar terpengaruh dengan gaya hidup menjerumuskan ke dalam api neraka. Jauhilah perbuatan mengambil rasuah kerana telah jelas disisi Islam bahawa harta tersebut adalah daripada sumber yang haram dan tidak seharusnya dibawa balik untuk di beri makan kepada anak dan isteri.


Keempat : Mengadai maruah.

Dasar Islam dalam pekerjaan adalah jelas. Islam menggalakkan umatnya bekerja kuat dan mengumpul kekayaan. Oleh itu Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha supaya mereka menjadi umat terbaik dan contoh kepada pihak lain.

Salah satu pekerjaan yang diharamkan adalah bekerja ditempat-tempat yang boleh mengadaikan maruah diri sebagai seorang muslim.

Pekerjaan tersebuat adalah seperti berikut :

  1. Pelacur
  2. Teman sosial (di kelab-kelab malam)
  3. Penari, penyayi dan pemaian alat musik dikelab-kelab malam (terdapat hidangan arak dan pergaulan bebas lelaki perempuan)
  4. Bonser (pengawal keselamatan untuk tempat-tempat maksiat)
  5. Tukang urut untuk berlainan jenis (lelaki mengurut wanita atau wanita mengurut lelaki)
  6. Menjadi model pakaian atau iklan yang mendedahkan aurat dan menjadi tontonan orang ramai
  7. Mendapat habuan (wang ringgit atau projek) kerana merancang konsperasi untuk mengaibkan seseorang muslim dengan memasang cctv , membuat vedio atau mengambil gambar dan sebagainya.

Semua pekerjaan tersebut di atas atau apa sahaja pekerjaan yang boleh mengadai maruah seorang muslim adalah haram di sisi Islam dan wajib ditinggalkan kerana ianya boleh mendapat laknat Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,

Marilah kita sama-sama tingkatkan iman dan takwa kita kepada Allah SWT. Tinggalkanlah semua pekerjaan atau sumber rezeki yang haram dan syubahat kerana hasil daripada pekerjaan yang haram tidak boleh digunakan untuk memberi nafkah kepada ahli keluarga, sedekah dan ibadah yang dikerjakan dengan menggunakan sumber yang haram tidak akan diterima di akhirat nanti amalan yang baik itu akan menjadi debu-debu yang berterbangan dan akan dilemparkan balik ke muka orang tersebut dan dia akan dihumbankan ke dalam api neraka, nauzubillahiminzalik.

Rezeki yang halal akan membawa keberkatan dan rahmat Allah SWT. Sedekah dan zakat yang ikhlas dan diperolehi daripada sumber yang halal akan dilipat gandakan oleh Allah SWT di hari akhirat nanti sehingga 700 kali ganda.