Wednesday, August 15, 2012

Percubaan Mencuri Jasad Nabi Muhamad Saw

Pada tahun 1099 M tentera Salib telah berjaya menakluk Baitul Maqdis dan mereka menguasainya selama 80 tahun. Kejayaan itu masih tidak memuaskan hati mereka lalu merancang satu perbuatan yang paling keji iaitu untuk mencuri jasad Nabi Muhamad saw.

Kisah ini berlaku pada tahun 557H (1164M), diceritakan oleh Ali Hafidz seorang Sejarawan Arab dalam bukunya Fusul Min Tarikhi Al Madinah al Munawwarah.

Pada masa itu kerajaan Bani Abbasiyah diperintah oleh Khalifah al Mustajid Billah (555-566/1160-1170). Kerajaan Islam ketika itu berada dalam keadaan lemah dan berpecah-belah. Maka tentera Salib mengambil kesempatan mahu mencuri serta memindahkan jasad Nabi Muhamad saw.

Untuk menjayakan rancangan tersebut mereka menghantar dua orang lelaki bangsa Moroko yang beragama Kristian ke Madinah dengan berpura-pura mahu menziarahi makam rasulullah saw. Dan mereka menginap disebuah rumah berhampiran dengan masjid Nabawi.

Kedua lelaki itu berlagak seperti orang alim, mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid nabawi setiap waktu dan menziarahi perkuburan baqik setiap pagi. Selain itu kedua lelaki itu juga bersikap dermawan sering memberikan hartanya kepada fakir miskin.

Pada waktu malam mereka menggali sebuah terowong menuju ke kamar Nabi Muhamad saw. Mereka memasukkan tanah galian itu ke dalam beg kulit dan pada keesokan harinya kedua lelaki itu menziarahi perkuburan Baqik padahal tujuan sebenarnya mereka mahu membuang tanah di sana. Setelah beberapa bulan berusaha akhirnya terowong yang digali sudah hampir sampai ke kubur Nabi Muhamad saw.

Pada suatu malam, Sultan Nuruddin Mahmud bin Zanki yang berada di Syam (Syria) bermimpi bertemu Nabi Muhamad SAW dan baginda menunjuk kepada dua lelaki berambut perang, lalu berkata: "Hai Mahmud, selamatkan aku dari kedua orang ini!".

Sultan Mahmud terjaga dari tidur dan hatinya gelisah memikirkan mimpinya itu. Beliau lalu menunaikan solat sunat dan tidur semula. Dan beliau mengalami mimpi yang sama sebanyak 3 kali berturut-turut. Akhirnya Sultan Nuruddin Mahmud Zanki memanggil menterinya, Jamaluddin Al-Muwashshali, seorang yang alim serta luas ilmu pengetahuannya.

Setelah mendengarnya maka Jamaluddin pun berkata kepada Sultan, "Ini petanda telah berlaku suatu kejadian di Madinah Munawarah. Pergilah sekarang ke Madinah dan jangan bicarakan apa yang Tuanku lihat dalam mimpi Tuanku pada sesiapapun."

Keesokan harinya Sultan Nuruddin Mahmud Zanki berangkat ke Madinah bersama para pengiringnya. Apabila sampai di Madinah Sultan Nuruddin Mahmud Zanki membahagikan harta kepada semua penduduk Madinah. Tujuannya supaya dapat bertemu dua lelaki yang dimimpikannya itu.

Sultan Nuruddin Mahmud Zanki bertanya kepada gabenor Madinah apakah semua orang sudah datang mengambil hadiah pemberian baginda. Menurut Gabenor hanya dua orang lelaki yang tidak mahu datang kerana mereka tidak boleh menerima hadiah malah mereka yang sering memberikan hadiah.

Apabila kedua lelaki itu dibawa mengadap, Sultan Nurudin Mahmud Zanki terperanjat kerana keduanya yang dilihatnya dalam mimpi. Apabila disoal kedua lelaki itu tetap mengatakan berasal dari Moroko dan mahu mengerjakan ibadat. Orang ramai juga memberi pengakuan kedua lelaki itu orang yang baik.

Sultan Nuruddin Mahmud Zanki tidak berputus asa. Baginda pergi ke tempat penginapan kedua lelaki itu.Dalam rumah itu hanya ada beberapa naskhah al Quran dan kitab-kitab agama. Dalam sebuah bilik mereka temui harta yang banyak. Menurut kedua lelaki itu untuk disedekahkan kepada fakir miskin.

Sultan Nuruddin Mahmud Zanki hampir putus asa untuk mengaitkan kesalahan dua lelaki itu. Tiba-tiba beliau melihat ada sebidang tikar terbentang di atas lantai. Sultan mengangkat tikar tersebut dan terdapat sekeping papan lebar di bawahnya. Apabila papan itu diangkat maka terlihat sebuah terowong yang digali menuju ke Kamar Nabi SAW.

Setelah dipaksa akhirnya kedua lelaki itu memgaku beragama Kristian dan mereka diperintahkan untuk memindahkan jasad Nabi Muhamad saw ke Negara mereka. Kedua lelaki itu merayu dibebaskan namun Sultan Nuruddin Mahmud Zanki memerintahkan kedua lelaki itu dibunuh.

Bagi mengelakkan perkara itu berulang maka baginda memerintahkan supaya digali parit mengelilingi makam Nabi SAW kemudian dituangkan timah cair ke dalam parit itu sehingga penuh. Tujuannya supaya jasad Nabi Muhamad saw tidak lagi dapat diceroboh.Sesungguhnya Allah swt memelihara Nabi Muhamad saw semasa hidup dan setelah wafatnya…

Ekoran dari peristiwa ini memberi semangat kepada Salahuddin al Ayubi untuk menyerang tentera Salib dan akhirnya pada tahun 1187 M beliau berjaya menakluk Baitul Maqdis..