Monday, February 7, 2011

FIKIRAN, PERASAAN DAN PERUT RAKYAT


Di Bolivia, gula dicatu walaupun harganya naik sebanyak 64%. Di Amerika Syarikat, restoran termasuklah McDonald menaikkan harga makanan berikutan kenaikan harga daging (klik di sini). Di Kanada, harga barang dijangka naik sehingga 5% pada tahun ini.

Di seluruh dunia, harga barang naik sebanyak 45% sejak penghujung 2006. UN Food and Agriculture Division menyatakan harga barang sekarang adalah yang paling tinggi sejak 1990 dan meramalkan ia akan kekal untuk beberapa bulan lagi.

Kenaikan harga barang boleh mempengaruhi kestabilan politik terutama sekali di negara-negara yang selama ini dikenali sebagai mempunyai pemimpin "bermasalah" dan governans yang meragui. Kenaikan harga barangan dan pengangguran disebutkan sebagai tambah menyemarakkan rusuhan di beberapa buah negara di Timur Tengah seperti Tunisia, Algeria, Yamen dan Mesir.

Kesusahan hidup yang teruk menyebabkan mereka bangun melawan pemerintah yang dilihat hidup mewah dan rasuah. Di Mesir, sebagai contoh, sebanyak 19.6% atau 14.2 juta orang rakyatnya hidup di bawah US$1 sehari. Akibatnya, Presiden Hosni Mubarak berjanji tidak bertanding lagi dan anaknya, Gamal Mubarak yang disebut-sebut sebagai pengganti beliau meletakkan jawatan dalam parti.

Ditambah dengan kenaikan harga barang dan pengangguran, anak-anak muda di negara-negara tersebut yang selama ini merasakan mereka tidak berpeluang untuk bersuara secara bebas dan pandangan mereka tidak diambilkira dalam proses membuat keputusan memilih untuk keluar beramai-ramai di jalanan. Mereka berpendapat itulah satu-satunya cara membuat pemimpin parti-parti politik mendengar suara anak muda. Malah, di negara seperti Arab Saudi pun, sudah ada suara-suara penentangan yang semakin keras.

Ahmed Maghib, antara anak muda yang berdemonstrasi menyimpulkan apa yang sedang berlaku: "The old opposition parties don't represent the young people. Everyone needs to realize that it was the young people who brought about this change. We need to be heard."

Kesemua insiden ini menunjukkan kepada tiga perkara: fikiran (mind), perasaan (heart) dan perut (stomach). Pemimpin politik yang baik harus menentukan ketiga-tiga perkara ini diuruskan dengan baik - walaupun ia bukanlah sesuatu yang mudah.

Mungkin Hosni Mubarak lupa: "A hungry man is an angry man." Dan, pemimpin-pemimpin politik perlu diingatkan kata-kata Mahatma Gandhi: "Earth provides enough to satisfy every man's need, but not every man's greed!"