Friday, August 20, 2010





Solat Jemaah Sentuh Bahu Ubat Pelbagai Penyakit
Rencah
"Walhal Nabi Muhammad saw yang sepatunya yang kita kasihi dan contohi suruh kita rapatkan saf bila sembahyang, Mungkin sebab banyak saf kita tak rapat, maka macam-macam kacau bilau berlaku di Malaysia sekarang ini di kalangan umat Islam.

Dari saf solat yang tak rapat , dah nampak umat Islam di Malaysia ini tak bersatu hati. Bila kita dah tua ni, badan semakin lemah, uban makin banyak, itu semua tanda nak mati.

Saya mengalami masalah tidak stabil apabila berdiri lama dalam solat, ianya berkaitan dengan sistem keseimbangan badan dalam telinga.

Kalau solat diri lama, rasa nak jatuh. Bila solat tarawikh kena duduk.

Carilah terapi dalam internet. Antara terapinya ialah perlu ada sokongan bila berdiri, atau gerak-gerakkan kaki. Banyak pula gerak kaki, batal pula sembahyang. Alternatif lain ialah sembahyang duduk.

Jadi saya cubalah sembahyang rapat ke dinding. Alhamdulillah, tiada rasa nak jatuh lagi. Habis tu kalau tak ada dinding atau tiang macam mana ? Nak rapat ke bahu jemaah, semua jemaah kat Malaysia ni kebanyakan bahu jauh-jauh.

Akhirnya saya suruhlah anak saya solat sebelah saya, jadi lengan bahu dia rapat dengan lengan bahu saya, barulah rasa stabil. Tulah, Nabi dah suruh rapat saf, tak nak rapat saf. Sekarang terbukti melalui pengalaman sendiri rapat saf saya tidak hilang keseimbangan badan.

Agaknya kalau semua umat Islam di Malaysia solat jemaah rapat jari kaki dan bahu, mungkin kurang masalah mental, sakit jiwa, kencing manis, darah tinggi dan pelbagai penyakit lain . Itu semua kuasa Allah.

Sila baca dibawah ini kajian sains, rapat saf dalam solat boleh memberikan tenaga dan memulihkan tenaga dan merawat pelbagai penyakit.

Percuma tu beb, tak payah belanja ribu-ribu , makan suplemen, minum tongkat ali dan sebagainya.

JAKIM, Mufti , Pengerusi Majlis Agama Islam , ABIM, JIM, PAS tak buat promosi besar-besaran ke rapat saf masa solat, bermula Ramadhan ini, Jemaah Tabligh dah lama promosi rasanya.

*****************

SOLAT : KEAJAIBAN DARI SUDUT SAINS

Seorang professor fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Katanya tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik iatu cas positif dan cas negatif.

Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.

Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita.

Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian.

Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.

Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda professor ini mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.

Hasil kajiannya mendapati bilangan rakaat yang berbeza dalam solat kita bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita. Semasa kita solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai kelebihan.

Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh.

Ia berlaku apabila cas yang berlebihan – sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat berapa jam.

Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan 2 rakaat.

Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas.

Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan. Sebab itu, solat Zohor didirikan 4 rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dakam tubuh. Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang.

Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti mana solat Zohor, 4 rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.

Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang dari kerja kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak 3 rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yng kurang berbanding 2 waktu sebelumnya.

Timbul persoalan di fikiran professor itu tentang solat Isyak yang mengandungi 4 rakaat.Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.

Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan 4 rakat dalam solat Isyak. Kita sedia maklum, umat Islam amat digalakkan untuk tidur awal agar mampu bangun menunaikan tahajjud di sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isyak sebanyak 4 rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamullail).

Dalam kajiannya, professor ini mendapati bahawa Islam adalah satu a gama yang l engkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah ynag tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Belaiu merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam. Sekian untuk renungan kita bersama

http://pmiupm.net/?p=584

Sabda Rasulullah.s.a.w. lagi; Daripada Abdullah bin Umar r.a., katanya: Sesungguhnya Rasulullah.s.a.w. telah bersabda: " Betulkan, penuhkan dan rapat-rapatkan saf-saf solat kamu, samakan kedudukan antara bahu-bahu kamu, penuhkan semua ruangan-ruangan kosong yang terdapat dalam saf, bersopan santunlah dengan saudara-saudara kamu ketika meluruskan dan merapatkan saf dan jangan sekali-kali membiarkan ruangan-ruangan kosong saf terdedah kepada syaitan. Sesiapa yang memenuhkan saf dan merapatkannya, nescaya Allah SWT menyambungkan rahmat-Nya bagi orang tersebut dan sesiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah SWT akan memutuskan rahmat-Nya dan inayah-Nya daripada orang tersebut" ( Riwayat Abu Daud )

http://www.leewantam.com/2009/06/saf-yang-tidak-rapat-terputus-rahmat.html

SAF SEMBAHYANG JEMAAH RAPAT LURUS BUKTI MENCINTAI RASULULLAH

Oleh: Syamsul Annuar Yaacob

Sumber: http://www.bharian.com.my

MENJADI kebiasaan bagi imam bertugas mengungkapkan hadis Rasulullah SAW ketika berdiri mendirikan solat jemaah. Ucapan itu bukan direka tanpa tujuan kerana kata itu sahih daripada mulut Rasulullah SAW. Anas Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Luruskan saf kamu, kerana saf yang lurus termasuk solat yang sempurna." (Hadis Riwayat Muslim) Namun, seruan itu sering diabaikan masyarakat yang mengaku cintakan Nabi Muhammad SAW, tetapi memandang ringan seruan Baginda. Sesungguhnya kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan dengan mengikut sunnah Baginda.

Anas berakta, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. Pertama, hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai kecuali kerana Allah. Kedua, taat ibu bapa selagi tidak melanggar perintah Allah. Ketiga, hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Jika kecintaan kepada ibu bapa menuntut ketaatan terhadap perintah mereka, apakah pula alasannya tidak mengendahkan perintah Rasulullah SAW sedangkan kedudukan cinta terhadap Baginda lebih tinggi berbanding ibu bapa. Begitulah kecintaan sebenar kepada Rasulullah SAW perlu mengikut sunnah Baginda seperti firman Allah bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Ali-Imran, ayat 31)

Mungkin ada yang tidak selesa jika bersolat dalam keadaan rapat serta dalam saf lurus. Tidak kurang juga timbul perasaan geli untuk berdiri bersentuhan bahu dan bertemu kaki ketika solat jemaah. Ketahuilah bahawa dalam sunnah yang dipandang ringan ini, terkandung penawar bagi penyakit perpecahan yang sedang melanda umat Islam kini.

Daripada Abu Masud, katanya: "Rasulullah SAW menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata, luruskan barisanmu (saf), jangan bengkok, nescaya yang menyebabkan hatimu berpecah-belah." (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW mempunyai cara tersendiri mewujudkan perpaduan utuh di kalangan sahabat dengan menyempurnakan saf. Ini terbukti apabila generasi yang ditarbiah Rasulullah SAW amat menjaga perpaduan dan tidak mementingkan diri seperti puak Muhajirin serta Ansar yang dapat disatukan.

Ada pihak beranggapan tidak sempurna saf jika kanak-kanak solat bersama, tetapi tidak pula rasa solatnya tidak sempurna jika saf tidak lurus. Setiap kali solat Jumaat atau hari raya, jemaah bersembahyang di luar atau di pekarangan masjid kerana ruangan dalam sudah penuh. Jika semua mementingkan susunan saf yang betul dan lurus, pasti ada jemaah berpeluang solat di dalam masjid. Jika benar ikhlas cintakan Rasulullah SAW dan ingin mengeratkan perpaduan Islam, ikut sunnah nabi supaya merapatkan serta meluruskan saf supaya hilang perasaan ego dan sombong sebaliknya lahir rasa kasih sayang.

Imsak dan puasa. Adakah imsak sebahagian syariat Islam?
Tazkirah
"Imsak dan puasa. Adakah imsak sebahagian syariat Islam? Assalamualaikum wbh sdr seagamaku dan laknat Allah SWT kepada iblis dan pengikutnya.Selamat berpuasa kepada umat Islam semoga ibadah puasa kita semua diterima Allah SWT.

Puasa dan waktu imsak adalah saling bergandingan di Malaysia. Apabila masuk saja bulan Ramadhan, umat Islam akan sibuk mencari surat khabar atau radio atau TV untuk mengetahui waktu imsak bagi kawasan mereka.

Menurut BAHEIS (http://baheis.islam.gov.my/web/musykil_new.nsf/5bf3fb7251836f9a482567f20004d104/346a4ffac16b04fd0025735c00122b84?OpenDocument ), Waktu imsak ialah waktu berjaga-jaga untuk menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa sebelum terbitnya fajar sodik (waktu subuh).


Umat Islam secara di Malaysia umumnya akan menjaga waktu imsak ini di mana mereka akan berhenti makan dan minum sebelum waktu imsak. Apabila kita perhatikan waktu subuh dan waktu imsak ini, kita akan dapati bahawa waktu imsak ialah 10 minit sebelum masuknya waktu subuh.

Persoalan yang ingin saya bincangkan kali ini ialah:

1. Adakah waktu imsak ini sebahagian dari syariat Islam?

2. Adakah Nabi Muhamad melalui hadisnya ada mengajarkan waktu imsak bagi mereka yang berpuasa Ramadhan?

Apabila kita meneliti mana-mana kitab hadis dari Ahmad, Turmizi, Nasaie, Muslim atau Bukhari mahu pun Al Quran, Nabi Muhamad SAW tidak pernah mengajarkan waktu imsak ini. Marilah kita melihat dalil-dalil untuk menolak perkara ini.

1. Al Baqarah ayat 187: …. Makan dan minumlah hingga jelas bagi mu antara benang putih dan benang hitam iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa sampai malam.

Dalam mentafsirkan maksud benang putih dan benang hitam ini, marilah kita teliti hadis Muslim No 1053 maksudnya: Dari ‘Adi bin Hatim ra katanya; “Setelah turun ayat ….. hingga jelas bagi mu antara benang putih dan benang hitam iaitu fajar…..” maka berkata ‘Adi bin Hatim kepada rasulullah SAW “Ya rasulullah ! Aku meletakkan benang putih dan benang hitam di bawah bantalku untuk membezakan malam dan siang.” Sabda rasulullah SAW “Bantal mu terlalu lebar. Yang dimaksudkan (dengan benang hitam) ialah gelap malam, dan (benang putih) ialah cahaya siang.

2. Dari kitab sahih Bukhari dan Muslim di riwayatkan oleh al Qasim dari Aisyah bahawa rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya; “Azan Bilal tidak menghalangi makan sahur kalian kerana ia mengumandangkan adzan pada malam hari. Maka makan minumlah sehingga mendengar adzan Ibnu Ummi Maktum kerana ia tidak mengumandangkan adzan melainkan fajar telah terbit.

Berdasarkan hadis ini, adalah menjadi sunnah untuk mengumandangkan azan subuh 2 kali di mana adzan pertama(oleh Bilal) untuk mengejutkan orang bangun dari tidur dan adzan kedua (oleh Ibnu Ummi Maktum) adalah adzan untuk solat. Namun sedihnya dua adzan ini tidak dilakukan di Malaysia. Di Arab Saudi masih dilakukan.

Dari kedua-dua dalil ini jelas bahawa umat Islam adalah dibenarkan untuk makan minum serta berjimak (rujuk pangkal Baqarah 187) sehingga masuk waktu subuh iaitu apabila telah keluar fajar siddik. Tidak ada sebarang dalil untuk umat Islam berjaga-jaga kira-kira 10 minit sebelum waktu subuh.

Kini sudah jelas bahawa amalan waktu imsak adalah berlawanan dengan dua dalil di atas. Al Quran dan hadis memerintah kita makan minum (jimak) sehingga masuk waktu subuh. Sekarang mari kita lihat pula satu dalil hadis yang menolak sama sekali waktu imsak yang diamalkan di Malaysia.

Dari Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik, dari Zaid bin Tsabit ia menceritakan: “Kami pernah makan sahur bersama Rasulullah SAW dan setelah itu kami berdiri untuk mengerjakan solat”. Anas pun bertanya kepada Zaid: “Berapa lama jaraknya antara waktu makan sahur dengan solat?” Zaid menjawab “Kira-kira selama membaca 50 ayat (Al Quran)”.

Dari hadis ini jelas menyatakan bahawa waktu makan sahur adalah kira-kira bacaan 50 ayat dari Al Quran. Kalau membaca ayat-ayat pendek mungkin tempuhnya kira-kira 10 minit dan sekiranya membaca ayat-ayat panjang mungkin tempuhnya 25 - 30 minit. Berdasarkan hadis ini, seseorang yang bersahur pada pukul 4 pagi sebenarnya mereka tidaklah bersahur, mungkin sekadar makan lewat malam atau late supper. Tempuh 10 – 25 minit ini adalah amat bersesuaian dengan lumrah manusia untuk makan. Bagi yang makan dengan laju, 10 minit sudah dikira mampu selesai dan bagi orang yang makan perlahan, 25 minit sudah dikira mampu sangat untuk segala bentuk makan dan minum. SubhanAllah mahasuci Allah.

Melalui perbincangan ringkas ini maka sesungguhnya

1. Waktu imsak adalah bukan sebahagian dari syariaat Islam

2. Nabi Muhamad SAW tidak pernah sama sekali melalui hadisnya mengajarkan waktu imsak iaitu sebagai waktu berjaga-jaga sebelum waktu azan subuh.

Marilah kita semua mencari keberkatan amalan bersahur menurut Islam yang sebenar iaitu kira-kira 10-25 minit sebelum azan subuh kerana menurut hadis dari Anas RA katanya Rasulullah bersabda mafhumnya “Makan sahurlah kamu kerana makan sahur itu mengandungi berkat”.

Satu hadis ialah dari Amru bin ‘Ash RA katanya Rasulullah bersabda mafhumnya “Perbezaan puasa kita dengan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur”

Pada zaman sekarang orang tidak lagi menggunakan benang putih benang hitam untuk azan subuh dan orang juga tidak lagi melihat matahari terbenam untuk azan Maghrib. Penggunaan jam yang tepat adalah dikira lebih mudah. Orang dengan yakin berbuka hanya dengan melihat jam tangan mereka. Begitu juga orang dengan yakin mampu melihat jam tangan mereka untuk mengenalpasti waktu azan subuh. Tolaklah kefahaman waktu imsak dan bersahurlah sehingga waktu azan subuh semoga kita semua mendapat berkat amalan sahur sebagaimana yang dijanjikan oleh Muhamad SAW dari Allah SWT.

Sekian wallahuaqlam

Jangan Lepaskan 11 Amalan Sunnat Bulan Ramadan Ini
Tazkirah
"Adalah penting bagi kita untuk mengetahui kalam Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam bab kaifiat dan fadhilat ibadah. Ini kerana ia merupakan janji benar yang menjadi jaminan yang kukuh untuk kita berpegang dengannya. Menjadi sumber motivasi buat orang-orang yang beriman.

Berikut adalah beberapa hadith Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan kepada kita bagaimana untuk mendapatkan impak maksima dari kebaikan Ramadhan. Saya telah memetiknya dari kitab Riyadhus-Solihin susunan Imam Nawawi dan kitab Feqhus-Sunnah susunan Sheikh Sayyid Sabiq. Semoga kita semua dapat mengamalkannya, insyaALLAH.

1. Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata: “Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?” Ia menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)

2. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka

Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru masak) sebelum solat. Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah kering). Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu Daud dan At-Turmudzi)

3. Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.

Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”

4. Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda: “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)

Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)

5. Bersiwak atau menggosok gigi.

Amir bin Rabi’ah berkata, “Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa. Kerana seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.” (HR Bukhari)

Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.” (HR Bukhari)

6. Bermurah hati dan banyak menderma.

Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)

7. Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.

(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)

Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.

8. Memberi makan untuk berbuka puasa.

Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)

9. Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)

10. Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan

Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)

11. Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.

Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan kebiasaan Beliau itu.” (HR Bukhari & Muslim)

Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam di atas. Janganlah dilepaskan peluang untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha kita untuk bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas.

Selain dari sunnah yang telah dinyatakan di atas, jangan lupa dan meremehkan lain-lain sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam seperti senyum, beri salam, solat jamaah di masjid, berbuat baik kepada ahli keluarga dan jiran, beri tadzkirah, merendah diri dan lain-lain.

Mudah-mudahan hidayah dan taufiq menyinari hati dan jiwa kita semua dan mudah-mudahn melekat ke dada kita semua akan nilai besar Taqwa, amin.