Thursday, March 18, 2010

DiGi jual iPhone suku kedua 2010

PUTERA Mahkota Haakon dan Puteri Mahkota Mette-Merit pada acara kemuncak Cabaran Hijau untuk Perubahan DiGi, baru-baru ini.
PUTERA Mahkota Haakon dan Puteri Mahkota Mette-Merit pada acara kemuncak Cabaran Hijau untuk Perubahan DiGi, baru-baru ini.
DIGI.COM Bhd (DiGi) akan mula menjual Apple iPhone pada suku kedua tahun ini, kata Ketua Eksekutifnya, Johan Dennelind.

DiGi akan menjadi syarikat telekomunikasi mudah alih kedua untuk menjual iPhone di negara ini selepas Maxis Communication Bhd.
iPhone memasuki pasaran tempatan tahun lalu apabila Maxis melancarkan telefon pintar itu pada 31 Julai. Berikutan sambutan menggalakkan terhadap iPhone di Malaysia, Celcom Axiata Bhd baru-baru ini menyuarakan minat untuk turut menjual iPhone in Malaysia di pasaran telekomunikasi negara.

Mengenai inisiatif "Deep Green" Digi, Dennelind berkata, syarikat itu memperuntukkan RM60 juta lagi untuk mencapai sasarannya untuk mengurangkan kesan penggunaan karbonnya sebanyak 50 peratus menjelang 2012.

Setakat ini, ia melabur RM40 juta untuk memastikan ciri pembangunan mapan dalam semua aspek syarikat itu.

"Cabaran untuk perubahan adalah satu daripada program tanggungjawab korporat syarikat untuk menghadapi isu global mengenai alam sekitar.
“Kami juga komited untuk membelanjakan RM100 juta sepanjang tiga tahun untuk menyokong agenda hijau kami,” katanya ketika ditemui di acara kemuncak Cabaran Hijau untuk Perubahan Digi yang dihadiri Putera Mahkota Norway Haakon Magnus dan Puteri Mahkota Mette-Marit, baru-baru ini.

Operasi DiGi melepaskan gas terbabit menerusi penggunaan tenaga yang sangat tinggi, yang mana bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat (ICT) dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama pelepasan gas karbon dioksida di bumi.

Laporan menyebut sektor telekomunikasi dan teknologi maklumat akan mengatasi sektor penerbangan sebagai penyumbang utama pelepasan gas karbon dioksida ke muka bumi.

Enam kumpulan daripada empat universiti terpilih untuk pusingan akhir daripada 15 kumpulan, untuk menjalankan projek merekabentuk penyelesaian tenaga boleh diperbaharui untuk komuniti luar bandar negara ini.