Wednesday, February 3, 2010

Biaq Betoi.. Orang Melayu Penakut Dalam Kategori Ini

Orang Melayu perlu tahu kepentingan derma darah

Orang Melayu perlu mempunyai kesedaran untuk tampil menjadi penderma darah bagi membantu pesakit dalam menyelamatkan nyawa mereka.

:Penolong Pegawai Penerangan Unit Derma Darah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Mohd Hamdan Syafri Abdul Halim berkata, orang Melayu didapati kurang menderma darah memandangkan 80 peratus daripada penderma darah di sini terdiri daripada mereka yang berbangsa Cina.

Menurutnya, mereka sepatutnya tahu mengenai kepentingan itu memandangkan majoriti daripada pesakit yang memerlukan bantuan darah adalah terdiri daripada orang Melayu itu sendiri.

:“Banyak kebaikan jika kita derma darah iaitu dapat mengesan penyakit seperti HIV, Malaria, Siflis dan Hepatitis.

“Melaluinya penderma dapat mengesan penyakit yang mungkin mereka sendiri tidak tahu dan dengan menderma darah dapat membantu pesakit yang mungkin berhadapan dengan maut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kem Lapangan Terbang, semalam sempena Kempen Derma Darah 1 Cav 1 Recon.

Mohd Hamdan berkata, antara kebaikan lain menderma darah ialah dapat membakar kalori sebanyak 75 peratus memandangkan setiap organ dalam tubuh manusia mempunyai fungsi tertentu untuk keseimbangan sistem tubuh yang memproses bahagian masing-masing untuk membina sel darah baru.

Menurutnya, setiap darah yang diperoleh dalam kempen derma darah di sekitar Wilayah Utara ini akan diproses di Pusat Saringan, Hospital Alor Setar sebelum diedarkan kepada hospital yang memerlukan.

“Saya dapati masyarakat Cina ramai yang menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan yang digerakkan khas untuk mengadakan kempen derma darah dan tidak hairanlah kaum mereka menjadi majoriti penderma darah.

“Saya berharap masyarakat Melayu dan lain-lain perlu mempunyai kesedaran seperti mereka dan giat mengadakan kempen derma darah dalam usaha menyahut seruan kerajaan,” katanya.

:Dalam perkembangan lain, Pegawai Memerintah Rejimen Ke-3 Kor Armor Diraja (3 KAD) Kem Lapangan Terbang, Leftenan Kolonel Mohd Khairi Abdullah berkata, pihaknya melalui Kementerian Pertahanan menyambut baik seruan kerajaan untuk menggalakkan masyarakat menderma darah dan telah bekerjasama bersama Kementerian Kesihatan melalui HSAH untuk mengadakan kempen derma darah di 3 KAD.

Menurutnya, beliau sendiri akan mengetuai anggotanya dalam usaha menunjukkan kepimpinan melalui teladan dan menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat serta berharap kempen sebegini diadakan secara berterusan.

:Sementara itu, Mohd Hamdan Syafri berkata, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak tentera yang sering memberikan sokongan dengan mengadakan kempen derma darah.

Mangsa rokok meletup dalam mulut menyesal


GAMBAR yang dirakam dari sebuah laman web menunjukkan mulut Andi dibalut selepas sebatang rokok yang dihisapnya meletup dalam mulutnya.

JAKARTA - Sebuah syarikat pengeluar rokok, Pt Nojorono Tobacco Indonesia bersetuju untuk membiayai rawatan perubatan seorang lelaki yang kehilangan enam batang gigi apabila sebatang rokok yang dihisapnya meletup di dalam mulutnya.

Lelaki itu, Andi Susanto, 31, memberitahu stesen televisyen Metro TV dalam satu temu ramah dari sebuah hospital bahawa syarikat tersebut membuat tawaran untuk membiayai rawatan perubatannya.

"Pegawai-pegawai syarikat itu telah berbincang dengan keluarga saya dan kami bersetuju untuk menyelesaikan isu tersebut atas dasar persahabatan sebagai satu penyelesaian di luar mahkamah.

"Mereka akan membiayai rawatan perubatan," katanya.

Punca letupan itu masih belum diketahui.

Menurutnya, dia tidak mengunyah makanan lain semasa menyalakan rokok Clas Mild dan tidak menyedari sebarang keganjilan mengenai bau, warna dan rasanya.

Ekoran kejadian itu, dia menyatakan akan berhenti merokok. - AP

Perbicaraan Concorde bermula


GAMBAR bertarikh 25 Julai 2000 menunjukkan pesawat

Concorde milik Air France berlepas dengan ekornya terbakar

di lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris.

PONTOISE - Hampir sepuluh tahun selepas pesawat supersonik Concorde milik Air France terhempas dan membunuh 113 orang sekali gus menyebabkan perkhidmatannya dihentikan, sebuah mahkamah Perancis mula bersidang bagi mencari jawapan berhubung persoalan siapakah yang perlu dipersalahkan?

Perbicaraan itu berlangsung di sini, utara Paris semalam dan mungkin memakan masa sehingga empat bulan.

Pada 25 Julai 2000, jet komersial itu menjunam dan merempuh sebuah hotel beberapa minit selepas berlepas dengan ekor yang terbakar di Lapangan Terbang Charles de Gaulle.

Pihak pendakwaan menamakan Continental Airlines iaitu syarikat penerbangan yang beribu pejabat di Houston, Amerika Syarikat (AS) dan dua pekerjanya sebagai antara lima defendan yang didakwa kerana menyebabkan kematian berhubung nahas Concorde.


GAMBAR fail menunjukkan lokasi nahas pesawat Concorde milik Air France merempuh sebuah hotel di Gonesse, Paris pada 25 Julai 2000.


Mekanik Continental Airlines, John Taylor, 41, didakwa melanggar garis panduan apabila menggunakan titanium dan bukan logam lebih lembut semasa menggantikan jalur sebuah pesawat DC-10 milik penerbangan tersebut.

Sebelum ini, para penyiasat mengesyaki nahas berpunca daripada sekeping jalur logam yang berada di landasan dipercayai tercabut dari pesawat DC-10 itu beberapa minit sebelum pesawat Concorde tersebut berlepas.

Defendan kedua iaitu seorang ketua penyelenggara Continental Airlines, Stanley Ford, 70, kerana meluluskan penggunaan jalur titanium.

Bagaimanapun, pasukan peguam Continental itu menyatakan, anak guam mereka dijadikan kambing hitam dalam kes berkenaan dan mereka mempunyai bukti bahawa pesawat Concorde terbakar sebelum ia melanggar serpihan titanium itu.

Dua lagi defendan yang turut berdepan tuduhan sama ialah pekerja Aerospatiale iaitu anak syarikat Airbus manakala defendan kelima ialah seorang pekerja pihak berkuasa penerbangan awam Perancis. - AP