Wednesday, February 3, 2010

Biaq Betoi.. Orang Melayu Penakut Dalam Kategori Ini

Orang Melayu perlu tahu kepentingan derma darah

Orang Melayu perlu mempunyai kesedaran untuk tampil menjadi penderma darah bagi membantu pesakit dalam menyelamatkan nyawa mereka.

:Penolong Pegawai Penerangan Unit Derma Darah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Mohd Hamdan Syafri Abdul Halim berkata, orang Melayu didapati kurang menderma darah memandangkan 80 peratus daripada penderma darah di sini terdiri daripada mereka yang berbangsa Cina.

Menurutnya, mereka sepatutnya tahu mengenai kepentingan itu memandangkan majoriti daripada pesakit yang memerlukan bantuan darah adalah terdiri daripada orang Melayu itu sendiri.

:“Banyak kebaikan jika kita derma darah iaitu dapat mengesan penyakit seperti HIV, Malaria, Siflis dan Hepatitis.

“Melaluinya penderma dapat mengesan penyakit yang mungkin mereka sendiri tidak tahu dan dengan menderma darah dapat membantu pesakit yang mungkin berhadapan dengan maut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kem Lapangan Terbang, semalam sempena Kempen Derma Darah 1 Cav 1 Recon.

Mohd Hamdan berkata, antara kebaikan lain menderma darah ialah dapat membakar kalori sebanyak 75 peratus memandangkan setiap organ dalam tubuh manusia mempunyai fungsi tertentu untuk keseimbangan sistem tubuh yang memproses bahagian masing-masing untuk membina sel darah baru.

Menurutnya, setiap darah yang diperoleh dalam kempen derma darah di sekitar Wilayah Utara ini akan diproses di Pusat Saringan, Hospital Alor Setar sebelum diedarkan kepada hospital yang memerlukan.

“Saya dapati masyarakat Cina ramai yang menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan yang digerakkan khas untuk mengadakan kempen derma darah dan tidak hairanlah kaum mereka menjadi majoriti penderma darah.

“Saya berharap masyarakat Melayu dan lain-lain perlu mempunyai kesedaran seperti mereka dan giat mengadakan kempen derma darah dalam usaha menyahut seruan kerajaan,” katanya.

:Dalam perkembangan lain, Pegawai Memerintah Rejimen Ke-3 Kor Armor Diraja (3 KAD) Kem Lapangan Terbang, Leftenan Kolonel Mohd Khairi Abdullah berkata, pihaknya melalui Kementerian Pertahanan menyambut baik seruan kerajaan untuk menggalakkan masyarakat menderma darah dan telah bekerjasama bersama Kementerian Kesihatan melalui HSAH untuk mengadakan kempen derma darah di 3 KAD.

Menurutnya, beliau sendiri akan mengetuai anggotanya dalam usaha menunjukkan kepimpinan melalui teladan dan menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat serta berharap kempen sebegini diadakan secara berterusan.

:Sementara itu, Mohd Hamdan Syafri berkata, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak tentera yang sering memberikan sokongan dengan mengadakan kempen derma darah.

No comments: