Wednesday, December 23, 2009

Bak kut teh:
halal atau haram
- Dr Abdul Rahman Tang & Dr Yamin Cheng
- Laman M@RHAEN


DIS 22 — Menurut apa yang dilaporkan oleh pihak media The Malaysian Insider, kami dapati bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua penolong pengarah Jakim, Lokman Abdul Rahman dan setiausaha agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman mengenai status halal bak kut teh adalah mengelirukan.

Menurut Lokman Abdul Rahman, bak kut teh halal tidak boleh dikatakan halal adalah kerana ia ‘bertentangan dengan hukum syarak kerana bercanggah dengan kaedah fiqah yang ditetapkan oleh Islam.’

Kaedah fiqah sebagaimana yang dinyatakan dalam laporan tersebut ialah ‘bak kut teh tidak boleh dianggap halal kerana ia masih mengekalkan penggunaan nama yang haram mengikut hukum Islam.’

Kami ingin bertanya kepada Lokman samada beliau memahami makna bak kut teh dalam bentuk bahasanya ataupun beliau memahaminya hanya pada ramuan masakan itu secara tradisionalnya.

Secara tradisionalnya, ramuan bak kut teh memang mengandungi daging babi.

Oleh kerana daging babi telah menjadi adat ramuan masakan ini, maka ‘bak kut’ itu menjadi lali secara maknanya dengan daging babi.

Tetapi sekiranya bak kut teh dilihat dari sudut bahasanya di mana bahasa itu adalah bahasa hokkien, ‘bak’ bermakna daging dan ia tidak merujuk secara khusus kepada daging babi sahaja tetapi apa jua daging. Begitu juga dengan ‘kut’ yang bermakna tulang dan bukan tulang babi saja. ‘Teh’ pula adalah teh. Maka, bak kut teh bermakna makanan teh daging tulang.

Justru itu, kami berharap Lokman dapat tunjukkan bahagian mana dalam nama bak kut teh yang haram namanya dalam hukum syarak.

Datuk Maamor Osman pula dipetik sebagai berkata bahawa beliau tidak bersetuju dengan langkah memperkenalkan nama bak kut teh halal kerana langkah itu sebagai salah satu cara halus mengurangkan rasa jijik masyarakat Islam pada babi.

Kami ingin bertanya kepada Datuk Maamor, apakah masyarakat Islam yang berkunjung ke A&W selama ini dan menikmati minuman ‘Root Beer,’ sekarang ramai yang tidak lagi rasa jijik kepada minuman keras seperti Anchor Beer dan Tiger Beer kerana perkataan ‘beer’ dalam ‘Root Beer’ telah membuat mereka kurang sensitif kepada minuman keras?

Perspektif dan andaian kita kadangkala dipengaruhi oleh suasana walaupun ia dilakukan atas nama agama. Satu ketika dahulu ‘chopstick’ dikaitkan dengan amalan yang tidak berunsurkan Islam kerana masyarakat yang menggunakannya di negara ini kebanyakannya tidak beragama Islam.

Tetapi selepas negara Tembok Besar membuka pintunya dan ramai rakyat negara ini yang berketurunan Islam berkunjung ke negara tersebut dan melihat orang Islam di sana rata-rata menggunakan ‘chopstick,’ pandangan tentang penggunaannya mula berubah dan tidak kurang pula masyarakat Islam di negara ini yang menggunakan ‘chopstick.’

Fiqah mengajar kita mengambilkira unsur budaya tempatan dalam melaksanakan hukum syarak. Kaedah fiqah ada menyatakan ‘adat itu menjadi timbangan’ kerana adat mengandungi sejarah dan budaya yang menentukan kebijaksaan dan keadilan pelaksanaan hukum syarak.

Masyarakat Islam di negara ini juga mempunyai golongan Muslim Tionghua yang tidak kurang bilangan mereka. Mereka juga ingin menjalani kehidupan yang berlandaskan hukum syarak.

Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan atas perspektif agama harus melihat kepada perubahan yang berlaku.

Perspektif yang ada tidak semestinya perspektif yang tepat kerana keadaan tempatan dan semasa membuat perspektif itu kelihatan betul tetapi tidak semestinya tepat dalam hukum syarak.

* Dr. Abdul Rahman Tang dan Dr. Yamin Cheng adalah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.