Monday, March 28, 2011

VIDEO LUCAH DAN DOSA POLITIK

Dalam budaya manusia tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh. Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik. Dalam Islam, perbuatan dedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan dilarang Allah dan rasul-Nya. Ia haram. Hanya mereka yang jahil nas-nas agama yang menyangka itu suruhan syarak. Malangnya praktik ini diamalkan ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita. Sama ada Pas, UMNO dan PKR; ramai individu dalam parti-parti itu terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya menjadi ringan di lidah mereka. Bahkan kadang-kala mereka hina rupa ciptaan Allah yang ada musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar dan mamak. Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik. Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini. Sedangkan Nabi SAW bersabda: “Sesiapa menutup (keburukan) seorang Muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim). Aib peribadi Islam larang didedahkan aib peribadi yang tidak babitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin. Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian. Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf. Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan dedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang tuduh tanpa empat saksi 80 sebatan. Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi – sekalipun mungkin benar- adalah berat di sisi agama. Firman Allah (maksudnya): “Dan orang-orang yang lemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak bawa empat saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4). Nabi SAW sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar. Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah lakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”. Nabi SAW tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi SAW menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu hapuskan kejahatan. Perintah Allah yang demikian adalah peringatan bagi orang yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi SAW: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”. Bukan Bukti Asas Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah, bukan dengan orang lain. Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran: “Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyi dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh intipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk pastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis; “Barang siapa melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya�.” Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran daripada orang lain. Ini kerana Islam tidak jatuhkan hukuman kepada orang yang buat kemungkaran secara bersembunyi. Diserahkan hanya kepada Allah untuk hisab pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia lakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih: (bermaksud): ”Setiap umatku diberikan keampunan kecuali yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk jatuhkan hukuman terhadap kemungkaran dilakukan secara sembunyi. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq). Berbeza dengan kes kezaliman Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa dan rasuah. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa. Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam izinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang boleh mudaratkan orang ramai dan rakyat. Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa. Itupun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Juga boleh dedahkan kepada pihak berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau orang lain. Tidak perlu suruhanjaya Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-Ma’ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemungkaran) apabila ia nyata dilakukan. Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah: “Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu lakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus kita intip. Allah Ta'ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah panjat rumah seorang lelaki dan dapatinya dalam keadaan tidak wajar. Lelaki tersebut membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah Taala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu intip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah lakukannya. Allah berfirman: (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu minta izin serta beri salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak beri salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya� Maka ketahuilah sesiapa yang kunci pintu rumahnya dan sembunyi di sebalik dindingnya, tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut... ”(Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990). Ingatan Muslim hendaklah elak diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu. Mereka ini ada dalam UMNO, PKR dan PAS. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu dosa; dan janganlah kamu intip mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujurat: 12). Bangkit generasi baru! Marilah kita bermufaraqah atau tinggal pelakon atau watak selekeh dan rela halalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa kira parti! Mereka mesti diusir dari permainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka selak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan ‘penonton bodoh’ yang seakan relakan apa saja watak mereka lakonkan. Politik kita perlu nafas baru dan dibersihkan dari golongan jijik dan kotok ini! Kita perlu politik idea, bagaimana dan cara bangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!
Sehubungan dengan itu, bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengajak semua pihak menganjurkan satu perhimpunan besar bagi menyatakan kebencian rakyat terhadap politik lucah dan kotor. "Semua pihak tanpa mengira agama, parti dan kaum hendaklah menyatakan bantahan mereka terhadap budaya kotor dan jelek di kalangan politikus dan media di negara ini," tulis Dr Mohd Asri.

Makanan Tambahan Probiotik, Baik atau Buruk untuk Kita


"makanan probiotikMakanan Tambahan Probiotik sangat bermanfaat untuk kesihatan dan berupaya untuk memantapkan sistem imun tubuh kita. Entry ini akan cuba memberi maklumat tentang makanan tambahan yang semakin popular ini kepada anda.

Tahukah anda bahawa terdapat 400 spesies mikroorganisma yang mendiami pelbagai ruangan di dalam sistem penghadaman manusia yang jika dikumpulkan akan mempunyai berat sebanyak hampir 2 kg? Terdapat beberapa bakteria dari sini seperti spesies lactobacilli dan bifidobacteria yang bermanfaat kepada kesihatan dan berupaya untuk meningkatkan keupayaan sistem imun kita.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, terdapat banyak kemusykilan dan minat di dalam makanan tambahan probiotic kerana keupayaannya untuk meningkatkan kesihatan. Terma probiotic merujuk kepada “untuk kehidupan”. Terdapat dua jenis bakteria, bakteria baik dan bakteria jahat. Bakteria jahat adalah mikroorganisma yang berbahaya seperti yis, fungi dan parasit yang menjadi punca penyakit. Manakala probiotik pula menyumbang kepada kesihatan dan keseimbangan di dalam perut dan dikenali sebagai bakteria baik.

Pakar pemakanan klinikal, Dr Bhavi Mody berkata “Probiotik adalah mikroorganisma hidup yang sama seperti yang ditemui di dalam sistem penghadaman. hari ini, makanan tambahan probiotik boleh didapati di dalam bentuk tablet dan kapsul.” Pakar zat klinikal Dr Sunita Dube pula berkata “Makanan seperti yogurt, mentega susu, krim masam dan produk berasaskan soya seperti tauhu, susu kacang soya dan lain-lain mengandungi organisma probiotik seperti bahan makanan yang ditapaikan.

Bagaimana makanan tambahan probiotik dihasilkan? Makanan tambahan probiotik dihasilkan dengan cara reaksi kimia dari asid laktik bakteria, yis atau kombinasi kedua-duanya. Mikroorganisma yang bermanfaat ini membantu dalam pemecahan karbohidrat dan gula bagi membolehkan ia dihadamkan dengan mudah dan lebih berkhasiat.

Kenapa probiotik penting untuk kesihatan? Flora alam perut adalah ekologi mikroorganisma yang hadir dalam tubuh. Ekologi ini kadangkala dimusnahkan oleh ubat-ubatan antibiotik, dadah, penyakit, alkohol dan juga stress. Walaupun antibiotik diberi oleh doktor untuk mengubati penyakit, pengambilannya secara kerap akan memusnahkan bakteria baik di dalam perut dan usus, yang akan memberi kesan buruk kepada sistem penghadaman dan keupayaan penyerapan khasiat did alam tubuh badan. Penggunaan antibiotik dalam jangka panjang akan mencegah kehidupan semula bakteria baik ini. Di sini probiotik memainkan peranan yang penting dalam membantu penambahan bilangan bakteria baik di dalam tubuh badan.

produk probiotikTerdapat banyak faedah makanan tambahan probiotik. Pakar zat klinikal Dr Nupur Krishnan berkata “Probiotik memperbaiki keupayaan tubuh untuk menyerap zat, memperbaiki sintesis vitamin, asid lemak dan mencegah jangkitan bakteria jahat dan yis. Makanan yang ditapaikan diketahui bermanfaat kepada kesihatan kerana ia terbukti meningkatkan kualiti zat di dalam makanan. Makanan seperti idli, dhokla, wada dan kadhi adalah makanan yang mengandungi lactobacillus dan kekacang yang lazim dimakan di India.” Beliau berkata makanan yang ditapai meningkatkan keupayaan tubuh untuk menyerap mineral-mineral penting dan mencegah dari kekurangan mineral yang melampau di dalam tubuh. Roti dan sos ikan adalah makanan yang ditapaikan menggunakan yis.

Dr Dube berkata makanan tambahan probiotik meningkatkan keupayaan sistem imun, penyerapan kalsium dan pencegahan elergi. Ia juga membantu dalam mengubati cirit-birit. Jika seorang wanita yang mengandung memakan makanan tambahan probiotik sebulan sebelum kandungannya lahir, ini akan membantu melindungi anaknya yang baru lahir dari mendapat elergi pada tahap yang tertentu. Bayi yang berumur enam bulan dan ke atas juga patut diberi makanan tambahan probiotik untuk membina kekuatan sistem imunnya.

Walaupun makanan tambahan probiotik adalah bermanfaat kepada kesihatan, seseorang yang mahu menambahnya di dalam pemakanan mesti melakukannya secara beransur-ansur. Seorang yang tahap kesihatannya normal boleh memakan makanan tambahan probiotik yang mengandungi dua juta mikroorganisma hidup setiap hari. Orang yang menghidap penyakit seperti kanser, kencing manis atau HIV positif mesti mendapatkan nasihat dari doktor terlebih dahulu sebelum mengambil makanan tambahan probiotik secara tetap, ujar Dr Mody lagi.

Dr Dube berkata pengambilan berlebihan apa jua bahan adalah tidak baik. Kadangkala pengambilan makanan tambahan probiotik secara berlebihan boleh menyebabkan masalah penghadaman dan perut kembung. Masalah ini berbeza dari individu ke individu. Semasa membeli makanan tambahan probiotik, kita mesti memeriksa tarikh luputnya kerana jika tarikhnya sudah luput, organisma hidup di dalam makanan tersebut tidak lagi efektif. Kita juga mesti memeriksa sama ada makanan tambahan probiotik tersebut mempunyai lebih daripada satu billion mikroorganisma hidup dalam setiap dos.

Dr Krishnan memberikan garis panduan dalam membeli makanan tambahan probiotik:
  • Produk yang dipasteur atau disimpan di dalam peti sejuk akan mengandungi sedikit sahaja bakteria aktif.
  • Wanita mengandung perlu memakan makanan tambahan probiotik selepas mendapat nasihat doktor.
  • Penggunaan makanan tambahan probiotik dalam mengubati sebarang penyakit perlu dipantau pakar perubatan.
  • Carilah produk yang mengandungi bakteria yang hadir pada masa ia dimakan dan bukan pada masa ia disediakan. Lihat pada label tentang ini.
  • Simpan makanan tambahan probiotik seperti dadih di tempat yang sejuk dan kering seperti peti sejuk.
  • Terdapat banyak makanan yang dikomersialkan sebagai kaya probiotik, tetapu kita perlu memilih dengan teliti kerana ada di antaranya yang mempunyai kandungan gula yang tinggi tetapi kandungan vitamin dan mineral di dalamnya pula amat rendah.
  • Satu lagi perkara yang perlu kita hati-hati ialah kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh industri makanan di dalam pengiklanan produk-produk mereka. Dalam kebanyakan iklan-iklan ini, faedah produk tersebut terlalu digembar-gemburkan tanpa mengemukakan sebarang bukti atau kajian yang berkaitan.


Nota: Usana kini mengeluarkan produk makanan tambahan Probiotik iaitu Usana Probiotic Food Supplement. Ia adalah produk terbaru Usana yang telah dilancarkan pada awal tahun 2011. Usana Probiotic mempunyai 12 billion bakteria (ya, 12 billion!) pembentuk koloni dalam setiap hidangan untuk membantu kesihatan sistem penghadaman dan meningkatkan keupayaan sistem imunisasi bagi mencegah penyakit. Sudahkah anda mendapatkannya? Hubungi saya sekarang juga kalau nak order.

Sudahkah anda order Usana Probiotic?

Persiapan menghadapi Gempa Bumi di Malaysia


"Rakyat Malaysia perlu lebih bersedia mulai sekarang kerana Malaysia dijangka tidak terlepas daripada mengalami kejadian gempa bumi pada masa akan datang demikian menurut Pakar Geologi, Prof. Madya Dr. Tajul Anuar Jamaluddin. Apakah persediaan tersebut, adakah membina bangunan dan rumah yang tahan gempa, menyiapkan beg kecemasan dan beg bekalan disetiap rumah, menyediakan amal ibadah yang secukupnya bagi menghadapi maut, gempa bumi atau kiamat kecil? Di hujung artikel ini diberikan sedikit panduan Persiapan menghadapi Gempa Bumi di Malaysia.

Beberapa kejadian gempa bumi pada skala Richter yang kecil sebelum ini yang dilaporkan di Malaysia pada pautan berikut :

RAKYAT KENA SEDIA HADAPI GEMPA
Kosmo 28 Mac 2011

KUALA LUMPUR - Penduduk di negara ini perlu lebih bersedia kerana Malaysia dijangka tidak terlepas daripada mengalami kejadian gempa bumi pada masa akan datang.

Pakar Geologi, Prof. Madya Dr. Tajul Anuar Jamaluddin berkata, kemungkinan itu ekoran daripada retakan-retakan besar (sesar) yang terdapat di dalam kerak bumi.

Katanya, walaupun ketika ini retakan itu tidak aktif tetapi gerakan pada kerak bumi yang didorong oleh gempa di sekeliling Semenanjung Malaysia boleh mengundang bencana tersebut.

"Kekerapan berlakunya gempa bumi di sekeliling Malaysia, contohnya di Indonesia, Myanmar dan Jepun akan mendorong patahan pada retakan-retakan besar ini seterusnya ia akan aktif dan menghasilkan gempa bumi.



TITIK GEMPA HAMPIRI MALAYSIA
Kosmo 27 Mac 2011

KUALA LUMPUR – Kekerapan kejadian gempa bumi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dipercayai mengakibatkan kedudukan titik gempa di Sumatera, Indonesia beralih dan semakin menghampiri Malaysia.

Pakar geologi, Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu kerana titik gempa biasanya akan mengalami pergerakan sebanyak satu sentimeter setahun jika gempa bumi kerap berlaku di sesebuah kawasan.

Beliau berkata, hakikat tersebut terbukti apabila penduduk negara kini semakin kerap merasai kesan gegaran gempa bumi yang berlaku di negara-negara sekitar rantau ini berbanding sebelum ini.



PEK KECEMASAN, BERSEDIAKAH ANDA MENGHADAP BENCANA?

Pastikan rumah dan kenderaan sentiasa tersusun tidak menghalang laluan untuk menyelamatkan diri.

CONTOH BEG KECEMASAN (Beg yang senang dibawa/beg galas)

Dokumen penting, geran tanah, buku bank dll

Wang tunai

Barangan kemas

Telefon bimbit

Lampu picit

Kit pertolongan cemas

Ubatan penting

CONTOH BEG BEKALAN (Beg yang senang dibawa/beg galas)

Bekalan air minima 3 liter seorang

Makanan untuk 3 hari (coklat, makanan dalam tin dan makanan segera)

Pisau/pembuka tin

Mancis, lilin

Dapur kecil dan periuk kecil

Sepersalinan pakaian, berus, ubat gigi, sabun

Baju hujan, Wisel

Selimut

Radio kecil

Plastik barangan


BEKALAN YANG PALING PENTING UNTUK UMAT ISLAM

Mahirkan diri bertayamum

Bertaubat

Buat semua yang Allah dan Rasul suruh

Tinggalkan semua yang Allah dan Rasul tegah

Amal ibadah sebagai Bekalan Alam Kubur, Alam Barzakh, Padang Mahsyar, Hari Penentuan, Hari Pengadilan.