Saturday, April 10, 2010

Kemalangan jalan raya: Mangsa kanak-kanak tinggi


Kemalangan jalan raya di negara ini mengorbankan 410 nyawa kanak-kanak berusia antara satu hingga 15 tahun manakala 2,797 kanak-kanak mengalami cedera ringan dan serius pada 2008, menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Jumlah tertinggi kanak-kanak yang terkorban berusia antara 11 dan 15 tahun dengan merekodkan jumlah kematian 213 mangsa di seluruh negara, menurut Miros dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak 43 peratus membabitkan kemalangan motosikal di mana kanak-kanak ini menunggang sendiri motosikal atau kerana terjatuh selaku pembonceng.

Sementara 24 peratus lagi melibatkan kemalangan kenderaan dan 18 peratus kemalangan membabitkan pejalan kaki.

Kempen kesedaran

Memandangkan kadar kemalangan yang tinggi membabitkan kanak-kanak di Malaysia, Mirors akan menganjurkan kempen kesedaran mengenai pentingnya keselamatan jalan raya sempena pameran 'Smart Kids Education Fair' di Pusat Dagangan Dunia Putra bermula hari ini sehingga Ahad.

Mirors telah merangka beberapa aktiviti dan permainan yang direka khusus untuk mengajar golongan muda ini mengenai nilai positif keselamatan jalan raya dan bagaimana mereka boleh melindungi diri mereka ketika di jalan raya.

Mrros juga berharap ibu bapa dan golongan dewasa akan memainkan peranan lebih aktif untuk menanam nilai asas dan adap yang baik mengenai keselamatan jalan raya terhadap anak-anak mereka.

"Adalah sangat penting bagi kanak-kanak terutama yang bersekolah mempunyai pengetahuan asas dan memahami apakah keselamatan jalan raya. Ini adalah sebab utama mengapa mata pelajaran mengenai keselamatan jalan raya sedang giat diajar di sekolah," kata Pengarah Besar Miros Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Beliau berkata seseorang tidak boleh mengharapkan kanak-kanak itu berupaya untuk menyelami dan mengingati semua aspek mengenai keselamatan jalan raya.

Perilaku berlainan

Dr Ahmad Farhan berkata perilaku kanak-kanak sebagai pengguna jalan raya kerap kali tidak mengikut perilaku ibu bapa atau orang dewasa lain.

"Ini merupakan sesuatu yang berpotensi menguntungkan dan berbahaya. Maknanya ibu bapa dan orang dewasa mesti membimbing dengan menunjukkan teladan, iaitu mempamerkan sikap yang betul di jalan raya untuk mematuhi peraturan lalu lintas. Dalam jangka masa panjang nilai-nilai ini yang berkesan diserapkan."

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak membenarkan anak-anak mereka terutamanya remaja yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal atau memandu kenderaan kerana tindakan ini boleh mengancam nyawa mereka.

Katanya walaupun golongan muda ini mempunyai kebolehan untuk membawa kenderaan tetapi mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai peraturan lalu lintas dan etika jalan raya yang betul yang akan mendedahkan mereka kepada risiko kemalangan.

Tindakan ini juga boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain, tambahnya.

Dr Ahmad Farhan berkata menyemai kesedaran mengenai keselamatan jalan raya daripada umur muda lagi akan membantu membentuk masyarakat terutama golongan pemandu yang lebih bertanggungjawab di masa depan.

No comments: