Thursday, May 12, 2016

Pelajar UiTM makan koko crunch akhirnya terima anugerah



274
Bernama            Hari ini 10 Mei 2016,  6:24 petang

Seorang penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah mendedahkan dia sanggup mengikat perut semata-mata hendak menyimpan wang supaya mempunyai duit untuk membeli buku tambahan.
Nurul Shaera Eliana bt. Ahmad Kamal Ariffin, 24, dari Kuantan, Pahang berkata dia sanggup menahan lapar dan hanya memakan koko crunch dua kali sehari sebagai ganti nasi.
"Syukur....segala usaha saya berhasil apabila dipilih antara 4 penerima ANC pada konvokesyen ke-84 UiTM Kedah," katanya ketika ditemui selepas majlis itu di Dewan Semarak UiTM Merbok di Sungai Petani, hari ini.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Sumber Manusia itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.79 berkata dia ditawarkan biasiswa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setelah memperoleh PNGK 4.00 pada semester pertama.
Katanya beliau sentiasa berfikiran positif dan berusaha untuk mendapat anugerah dekan pada setiap semester sejak memulakan pengajian di situ.
"Saya sanggup menipu mak dan abah tentang keadaan saya (tidak cukup wang) dan hanya berkongsi cerita yang menyenangkan hati mereka sahaja kerana saya tidak mahu menyusahkan kedua ibu bapa saya.
"Mereka banyak berkorban untuk saya dan adik beradik yang lain," kata Nurul Shaera Eliana, anak kedua dari lapan orang adik beradik kepada Bernama.
Beliau yang bertugas sebagai pegawai Sumber Manusia di De Rhu Beach Resort Kuantan berkata dia bercadang menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang pembangunan sumber manusia.
Selain di UiTM Kedah, istiadat konvokesyen itu turut berlangsung di kampus induk UiTM Shah Alam, masing-masing dua di Melaka, Kelantan, Perlis serta Sabah dan Sarawak membabitkan penganugerahan ijazah dan diploma kepada 15,594 graduan.
-Bernama


No comments: